PEMAIN tengah kebangsaan, Nooa Laine sah menyarung jersi Selangor FC pada musim 2024/2025 ini.
Perkara itu telah diumumkan oleh Selangor FC sendiri menerusi satu hantaran yang dimuat naik ke laman Instagram rasminya sejurus berkongsi latar belakang pemain tersebut.
“Kami dengan berbesar hati mengumumkan peminjaman pemain dari SJK Seinajoki, Nooa Laine bersama Selangor FC selama setahun!
“Pemain tengah tersebut telah memulakan kerjayanya pada tahun 2018 di JJK Jyvaskylaa. Seterusnya ketika bersama SJK Seinajoki, beliau berjaya mencipta empat gol dalam keseluruhan 64 perlawanan dari 2021 hingga 2023.
“Beliau juga dipanggil untuk bermain bersama pasukan U23 Malaysia yang berjaya mendapat tempat di kempen Piala Asia AFC bawah-23 tahun,” menurut kenyataan Selangor FC.
Jelas bahawa kedatangan Nooa Laine ke Selangor FC bakal menguatkan lagi barisan tengah pemain The Red Giants setelah tonggak utama mereka, Brendan Gan tidak bersama lagi dengan mereka.
Pemain kacukan Finland-Malaysia itu juga bakal menghadapi cabaran besar pada musim ini iaitu tumpuan Selangor ke Piala ACL2 dan juga skuad Harimau Muda ke Piala Asia B-23 di Qatar.