PEMAIN tengah warisan negara, Nooa Laine yakin dapat mempamerkan prestasi cemerlang bersama skuad kebangsaan jika dirinya layak berada dalam senarai 25 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Walaupun pemain kelahiran Finland itu tidak terpilih dalam skuad Piala Asia 2023, namun dirinya tetap optimis untuk menerima harungan dan cabaran dalam skuad kebangsaan.
Nooa turut menyatakan bahawa dirinya sudah lali dalam bersaing mendapatkan tempat di kesebelasan utama, walaupun dengan status sebagai seorang pemain muda dalam skuad tersebut.
“Satu perkara penting untuk saya mendapat tempat dalam skuad senior. Apatah lagi saya sudah biasa dengan persaingan, ini normal kerana kita memiliki skuad yang bagus.
“Saya akui juga, ada pemain yang lebih lama dan hebat di skuad Harimau Malaya. Tetapi, setiap kali diberi peluang, saya tetap akan tampilkan yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya.
Dengan fokus yang sedia ada sebelum menghadapi perlawanan penting menentang pasukan ke-80 dunia, Oman, Nooa berharap agar Malaysia mampu berikan saingan yang terbaik terhadap mereka.
Nooa sebelum ini memilih untuk pulang ke Malaysia dengan menjadi pemain pinjaman buat pasukan Selangor FC menjelang saingan bola sepak musim 2204/2025.
Aksi perlawanan antara Malaysia dan Oman yang berlangsung di Muscat dijadualkan berlangsung pada 22 Mac 2024, manakala mereka akan pulang ke Malaysia untuk aksi keempat pada 26 Mac.