PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengakui ketandusan pemain perseorangan baik lelaki mahupun wanita, membuatkan badan induk badminton negara itu mengiklankan pencarian jurulatih lebih awal.

Presiden BAM, Tan Sri Muhammad Norza Zakaria berkata, sebagai sebuah persatuan sukan yang dinamik dan progresif, BAM perlu melakukan perancangan yang tersusun.

“Kita tidak boleh hidup dalam denial (penafian) bahawa pemain perseorangan lelaki dan wanita kita tidak mencapai apa yang kita mahukan.

“Disebabkan itu, Malaysia dilihat bergantung kepada Lee Zii Jia kerana mungkin, atas kegagalan kita di perseorangan lelaki. Saya harap proses reformasi akan berlaku,” kata Norza.

Mohammad Norza mahu lakukan perubahan demi memastikan Malaysia tidak ketandusan pemain perseorangan lelaki.

Baru-baru ini, BAM mengiklan jawatan kosong bagi tempat jurulatih perseorangan lelaki senior kebangsaan, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kontrak tiga jurulatih, Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chuah.

Malah kontrak ketiga-tiga jurulatih perseorangan lelaki terbabit hanya akan berakhir hujung tahun ini.

“Jika kita nak mengambil jurulatih sekalipun, akan dibuat selepas selesai mengikut kitaran Sukan Olimpik.

“Apa yang kita lakukan adalah pitch in advance, kita boleh melihat mana-mana jurulatih yang berminat,” katanya.

Prestasi perseorangan lelaki terutamanya dalam BAM ketika ini boleh dianggap kritikal dan memerlukan perubahan drastik selepas tidak banyak keputusan positif dihasilkan beberapa tahun kebelakangan.

Lebih malang, perseorangan utama kebangsaan Ng Tze Yong terpaksa berehat panjang selepas dua kali menjalani pembedahan susulan kecederaan belakang yang dialami pada Terbuka Malaysia Januari lalu.