BENARKAH Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, calon menggantikan tempat Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk mengisi tampuk pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM)?
Sejauh manakah dua calon yang disebut-sebut itu layak menduduki kerusi terbabit, FLASH SUKAN cuba mendapatkan komen daripada Norza yang sebelum ini pernah menyatakan beliau sendiri sudah mempunyai calon untuk dicadangkan kepada Ahli Majlis BAM.
Ketika dihubungi, Norza yang menjawat jawatan itu sejak 2017 tidak mengiya mahupun menidakkannya.
“Kedua-dua nama yang disebut itu, semuanya layak, tapi saya perlu serahkan perkara ini kepada ahli Majlis untuk menentukan.
“Biar mereka tentukan mengikut hala tuju BAM yang mereka mahukan selepas ini,” kata Norza, yang baru pulang dari urusan kerja di luar negara.
Menurutnya, masih banyak masa untuk BAM meneliti calon kerana beliau hanya akan melepaskan jawatannya di penghujung tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Khairy, Tengku Zafrul nama besar ganti Norza?
Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan (2010-2018), pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) (2007-2010), kini menyandang jawatan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Sementara itu, Tengku Zafrul pula, kini bergelar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mempunyai pengalaman dalam bidang perbankan dan aktif bersukan.