TAN Sri Mohamad Norza Zakaria sah buat pusingan U, mahu kekalkan kerusi sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga tamat penggal 2025.

Kata putusnya itu dikongsi kepada media selepas Mesyuarat Majlis BAM kali keempat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Selepas mengambil kira pelbagai faktor secara berhati-hati, dan galakan daripada YB Hannah (Hannah Yeoh) serta perbincangan dengan ahli Majlis BAM, saya putuskan untuk kekal sebagai presiden, berkongsi komitmen pada fasa kritikal dan jelas fokus kepada perburuan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik,” kata Norza dalam sidang media.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengambil kira permintaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh demi kepentingan sukan negara.

Menurutnya, ahli Majlis juga meminta beliau untuk tidak menetapkan tempoh akhir dia memegang jawatan sebagai presiden, bagi mengelak pelbagai spekulasi.

“Tadi dalam mesyuarat kita putuskan untuk fokus sehingga Olimpik tetapi buat masa ini, Majlis meminta saya untuk tidak meletak tarikh akhir sebagai presiden, jadi penggal pentadbiran sewaktu saya dipilih adalah sehingga 2025 kerana pemilihan seterusnya pada 2025, jadi kita kira sehingga ke tarikh itu.

“Apabila umum (letak jawatan) ni, banyak orang nak ambil (posisi presiden), banyak politik dan kita tak mahu tumpuan beralih dli luar fokus sebenar, politik kita nak ketepikan.”

Norza pada Julai, mengumumkan akan meletak jawatan selepas berakhir Olimpik Paris 2024, namun membuat pengumuman mengejutkan pada Ogos, mahu memendekkan tempoh peletakan jawatan iaitu berakhir hujung tahun ini.

Selamat tinggal Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang sebelum ini dicadangkan Tan Sri Mohamad Norza untuk menggantikannya sebagai Presiden BAM.

Dalam masa sama, Norza berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz, “Ya saya ada cakap dengan beliau, beliau memahami situasi dan mempunyai pemikiran yang sama bahawa BAM seharusnya diserahkan kepadanya pada masa yang tepat, sekarang hanya tinggal 7/8 bulan untuk ke Olimpik.”

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Selasa lalu, membuat hantaran di aplikasi ‘X’ miliknya berharap pengerusi bersama program Road to Gold (RTG), (Norza) mempertimbang semula keputusan meletak jawatan sebagai Presiden BAM.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pertimbang keputusan meletak jawatan seabgai Presiden BAM, menerusi aplikasi ‘X’ Selasa lalu.

Dalam isu berkaitan, Norza menafikan bahawa permintaan Hannah supaya beliau terus mentadbir BAM sebagai satu ‘drama’ dirancang.

“Pertama tak betul dan ia tidak dirancang… kedua ini adalah berkaitan kerja sepasukan untuk memastikan kita mempunyai satu matlamat yang sama, pemikiran yang sama dan saya pasti apabila dia dapat tahu saya mahu meletak jawatan, bermacam-macam berita didengarnya yang boleh mengganggu persediaan kerana sudah tentu BAM mempunyai 70 hingga 80 peratus pemain yang berada dalam RTG,” kata Norza.

Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam menyuarakan rasa gembira apabila Norza memutuskan untuk kekal dan menggambarkan presiden BAM itu sebagai pemimpin yang komited.