PEMAIN badminton negara tidak boleh lagi terbuai dengan kejayaan lampau, bahawa Malaysia pernah lima kali menjulang Piala Thomas.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pembinaan sejarah baharu itu amat penting sebagai sebuah negara kuasa badminton.

“Kita tidak boleh sering dibuai mimpi-mimpi indah bahawa kita adalah negara (kuasa) badminton, tak menang Kejohanan Dunia, tak menang Piala Thomas, tak menang pingat emas (Olimpik)… saya rasa kita tak boleh menggunakan gelaran itu (negara kuasa badminton) selagi tidak mencapai semua (kejuaraan).

“Sudah tiba masanya set pemain baharu ini membina sejarah baru,” kata Norza, ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Piala Thomas dan Uber negara, yang akan menggalas cabaran di Chengdu, China pada 28 April hingga 5 Mei ini.

Empat pemain negara, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang tidak bersama skuad Piala Thomas dan Uber, membawa masuk Jalur Gemilang, pada Majlis Penyerahan Bendera kepada skuad negara yang menggalas cabaran di Chengdu, China.

Beliau turut menegaskan bahawa perkara yang membezakan pasukan negara dengan pesaing adalah semangat juang, iaitu sifat patriotisme dalam jiwa setiap pemain yang mahu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Semangat juang kita adalah bagaimana kita cintakan bendera kita. Bendera kita adalah lambang maruah kita… sejauh mana anda ingin mempertahankan, iaitu macam mana anda pergi mempertahankan negara ini dalam perang. Pertanyaan ini hanya boleh dijawab pemain,” ujar Norza lagi.

Dalam pada itu, Norza turut mengakui bahawa perburuan Piala Thomas tahun ini, menjadi yang terakhir buatnya sebagai Presiden BAM: “Sebagaimana saya katakan bahawa kerja saya sebagai presiden akan berakhir di Olimpik, jadi di BAM sekarang sedang melalui proses transisi.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menggesa pemain mencipta legasi sendiri dengan menjuarai Piala Thomas di Chengdu, China.

“Jadi, ini adalah Piala Thomas terakhir dan Sukan Olimpik Terakhir saya.

“Kita sudah nampak kestabilan dalam BAM, pemain-pemain juga sudah melayakkan diri ke Olimpik dan selepas Olimpik, tiba masanya untuk saya bergerak dan memberikan kepada orang lain (jawatan).”

Ketika ditanya mengenai ganjaran sekiranya skuad Piala Thomas kali ini membawa pulang trofi yang kali terakhir dimenangi pada 1992, Norza mengesahkan akan ada imbuhannya.

“Saya rasa ia bersesuaian dengan Piala Thomas itu sendiri, yang berada di tahap berbeza, malah ketika ini kita (BAM) bukannya berada pada tahap kantung kosong.

“Apapun kita ada perancangan yang sesuai dengan prestij Piala Thomas itu,” kata Norza yang enggan berkongsi mengenai jumlah ganjaran yang bakal diterima skuad Piala Thomas sekiranya membawa pulang trofi itu pulang ke Kuala Lumpur.

Soh Wooi Yik, kapten Piala Thomas negara mengibarkan Jalur Gemilang.

Begitupun, Norza mengesahkan bahawa pemain sudah mengetahui mengenai janji BAM yang akan memberikan ganjaran sekiranya Malaysia muncul juara di Chengdu.

“Bagi saya, biar mereka bermain dulu, bukan bermain semata-mata kerana wang ringgit, sebaliknya demi maruah dan kegemilangan negara.

“Malah, kemenangan ini juga akan menentukan maruah kita sebagai negara kuasa badminton terus dikekalkan, supaya kita tidak hidup dalam nostalgia lampau.”

Pemain yang mewakili negara dalam kempen Piala Thomas dan Uber 2024, bergambar bersama pengurusan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Norza turut menegaskan bahawa Skuad Piala Thomas kali ini, bukanlah pasukan mentah sebaliknya berpengalaman dengan membariskan tujuh daripada 10 pemain yang mempunyai nama di pentas antarabangsa.

Malaysia membariskan empat pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh, dan tiga pasangan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Selain 1992, Malaysia pernah menjulang Piala Thomas pada 1967, 1955, 1952, 1949.