MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) dan semua ahli gabungannya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, kerana dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi penggal 2023-2027.

Dengan pelantikan khas ini, Norza kini secara rasmi akan menduduki Lembaga Eksekutif OCA. Sebelum pelantikan ini, Norza adalah ahli Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa OCA bagi penggal 2019-2023.

“Saya tidak sabar untuk berkhidmat dengan pergerakan Olimpik di peringkat benua.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada H.E. Sheikh Talal Fahad Al-Sabah, Presiden OCA yang baru dipilih, atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk berada dalam barisan beliau untuk mempromosikan pergerakan Olimpik di Asia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Norza dalam kenyataan.