PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia bagi penggal 2023-2027.

Pelantikan itu dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan Badminton Asia yang diadakan pada Sabtu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan semua ahli gabungan berbesar hati untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada presiden atas pelantikannya sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BA) bagi penggal 2023-2027

“Pelantikan Norza diumumkan oleh Presiden Badminton Asia yang baru dilantik, Kim Jong Soo dari Korea Selatan, merupakan pengendorsan tertinggi kepada peranan utama Malaysia dalam mempromosi dan membangunkan sukan badminton melangkaui ketuanan serantau,” menurut kenyataan MOM.

Pelantikan Norza diperakui sebulat suara oleh perwakilan dari 41 negara, sekali gus membolehkan beliau menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan itu.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong, telah dipilih sebagai Setiausaha Agung Badminton Asia yang baharu.

Berpangkalan di Maldives dan mempunyai pejabat cawangan di Malaysia, Badminton Asia adalah badan induk bagi sukan badminton di Asia di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).