PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria gembira melihat keyakinan atlet-atlet Malaysia yang menyasarkan pingat emas dan kedudukan terbaik dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Baginya, dengan semangat tinggi yang dipamerkan oleh kontinjen Malaysia, peminat sukan tanah air perlulah mendorong mereka dan beri sokongan padu berbaki lebih kurang tiga bulan sebelum mulanya temasya berprestij itu.

Tambahan pula, dengan projek khas Road to Gold (RTG) yang dibawakan kepada atlet tertentu yang berpotensi meraih pingat di Olimpik telah menjadi satu penanda terbaik untuk mereka beraksi dengan lebih yakin dan cemerlang.

Norza Zakaria ketika Majlis MoU antara BAM dan IJN.

“Dalam masa tiga bulan ini, sudah tentu kita semua harus memberikan sokongan berlipat kali ganda dan bagi keyakinan sepenuhnya kepada kontinjen Malaysia. Memang mereka tidak ramai tetapi kita ada atlet yang berpotensi untuk capai objektif (raih pingat emas), seperti dari sukan berbasikal, badminton dan lain lagi.

“Saya nampak momentum yang baik daripada mereka, jadi sokongan padu wajar diberikan kepada mereka. Dengan doa rakyat Malaysia, tiada yang mustahil untuk capai kejayaan.

Atlet badminton bergambar bersama pada Majlis MoU, Isnin.

“Mereka sangat bersemangat, macam sebelum ini, pihak MOM atau Majlis Sukan Negara (MSN) yang sasarkan pingat untuk mereka, tetapi sekarang atlet sudah lebih yakin dan mereka sendiri yang mahukan pingat emas,” kata Norza ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (BAM) dan Institut Jantung Malaysia (IJN) pada Isnin.

Dalam majlis tersebut, antara misi penting buat kedua-dua pihak itu adalah supaya memastikan tahap kesihatan terbaik bagi setiap pemain di bawah BAM.

“Tidak ada jalan pintas dalam melindungi kesihatan atlet kami yang kami hargai. Di BAM, kami sentiada berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik untuk para pemain kami,” tambah Norza.