KANDUNGAN surat jawapan Datuk Misbun Sidek kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus menjadi teka teki.

Sampai bilakah isu Misbun-BAM akan tergantung tidak dapat dijangka terutamanya selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, enggan membuka surat terbabit dan mahu menyerahkannya kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berikutan surat Misbun ditujukan kepada Mr. Presiden.

Norza ketika dihubungi FLASH SUKAN melalui mesej di aplikasi WhatsApp hanya membalas “Saya oversea tak balik lagi,” sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada beliau sudah membaca isi kandungan surat Misbun atau sebaliknya.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media tergempar berhubung pemecatan Datuk Misbun Sidek. Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden BAM dipendekkan kepada Disember 2023.

“Tunggu saya balik,” ringkas jawapan balas Norza apabila diminta berkongsi keputusan Misbun.

Difahamkan, Norza ketika ini berada di Kazakhstan.

Pada Selasa, pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad menghantar surat jawapan Misbun dan diserahkan ke pejabat BAM.

Kamal turut berkongsi bahawa Misbun enggan menemui mana-mana pihak melainkan beliau dan Datuk Jalani Sidek.

“Untuk surat ini, Misbun ambil masa dalam dua hari selepas menerima surat tawaran secara fizikal daripada BAM, Isnin lalu,” kata Kamal.

Datuk Misbun Sidek, sudah serahkan surat jawapan kepada BAM, menerusi pengurus peribadi, Nor Kamal Ahmad.

Tambahnya lagi, pemain remaja masih berhubung dengan Misbun bagi memaklumkan program latihan mereka.

“Memang sejak awal lagi Misbun beritahu kepada pemainnya, jika mahukan sebarang bantuan boleh terus menghubunginya.

“Malah Misbun masih membuat laporan prestasi pemainnya sehingga ke hari ini.”

Norza sebelum ini mengadakan sidang media tergempar memohon maaf kepada Misbun, susulan kemelut melanda berhubung penamatan kontraknya yang didakwa berlaku masalah komunikasi.