TAN Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan akan meninggalkan tampuk tertinggi badan induk badminton negara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejurus selepas berakhir temasya Olimpik Paris, 2024.
Beliau yang dilantik sebagai Presiden badan induk badminton Malaysia pada April 2017 itu, berkata, hasrat melepaskan jawatan itu telah disuarakan dalam Mesyuarat Majlis BAM yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Norza mengambil alih tampuk kepimpinan BAM daripada Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
“Sejak beberapa bulan lalu, saya dilantik sebagai sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BA).. beberapa hari lalu pula dalam Majlis Olimpik Asia (OCA).
“Saya mahu tumpukan peranan di pentas antarabangsa dan saya akan melepaskan jawatan Presiden selepas berakhirnya Sukan Olimpik Paris 2024,” kata Norza, dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM.
Norza dilantik Pengerusi Jawatankuasa Sukan Majlis Olimpik Asia bagi penggal 2023-2027
Pelantikannya dalam organisasi antarabangsa itu juga membuatkan Norza mengumumkan, akan mengundur diri sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), selepas berakhirnya temasya Olimpik Los Angeles 2028.
April lalu, Norza dilantik sebagai Presiden Kehormat BA, sekali gus akan memanfaatkan badan induk badminton Asia itu yang bakal menerima kepakaran Norza terutamanya dalam bidang pemasaran dan penajaan , pengurusan acara serta pembangunan antara negara anggota.
Pelantikannya itu bersesuaian dengan Klausa 13.2 Perlembagaan Badminton Asia, yang menetapkan individu dilantik sebagai Presiden Kehormat hendaklah pernah berkhidmat dengan sebuah organisasi, memiliki pengetahuan dan pengalaman serta pencapaian yang boleh memberikan impak kepada BA.
Sementara itu, dua hari lalu, Norza dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk Semua, Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi penggal 2023 hingga 2027.
Menerusi pelantikan itu, Norza secara automatik akan berada dalam Lembaga Eksekutif OCA.