BERIKAN mereka sokongan yang tidak berbelah bagi,”

Itu naratif pembekar semangat yang diungkap oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria apabila diminta untuk mengulas mengenai prestasi yang tidak konsisten oleh Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Prestasi yang tidak menentu oleh beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sejak kebelakangan ini telah menarik perhatian ramai, dengan Sukan Olimpik Paris 2024 semakin menghampiri mereka.

Apatah lagi, beregu utama itu merupakan pilihan utama untuk memenangi pingat bagi acara Badminton buat kontinjen negara di Perancis nanti.

Ramai yakini Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bagi sepenuhnya dalam kejohanan Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun, Presiden BAM menyatakan bahawa beliau masih yakin dan percaya bahawa gandingan itu akan bangkit menjelang temasya sukan termasyhur itu nanti.

“Bagi kita ini adalah satu proses dan proses ini ada turun dan naik, contoh kalau kita menang adakah kita nak mereka memuncak ketika Terbuka Thailand atau Terbuka Singapura, jawapannya tidak. Kita nak mereka memuncak di Paris 2024.

“Bagi mereka the benefit of doubt ataupun sokongan yang tidak berbelah bagi. Kalau mereka menghadapi saat-saat yang sukar dan mereka perlukan kita, kita akan bersama mereka bukannya kita kata ‘mereka ini tiada harapan untuk menang’. Bagi kita mereka yang layak ini mempunyai harapan yang tinggi dan berpeluang untuk menang,” katanya kepada media pada Khamis.

Norza percaya Aaron-Wooi Yik  akan kembali dan ‘meletup’.

“Mereka dah berjaya melayakkan diri ke Olimpik secara merit, itu yang penting. Dan mereka-mereka ini adalah berada dalam ranking 10 terbaik dunia terutama sekali Aaron Chia dan Wooi Yik. Saya rasa kita harus berikan sokongan sebaik-baiknya kerana mereka berada dalam kalangan lima terbaik di dunia.

“Mungkin ada ketika mereka berada dalam keadaan yang sukar tapi saya yakin dan percaya kita harus memberi sokongan padu kepada mereka mencari jalan untuk mereka sampai kepada prestasi puncak ketika mereka di Olimpik nanti,” tambahnya lagi.

Sepanjang dua minggu lalu, beregu nombor satu negara hanya berjaya mencapai dua penampilan suku akhir di Malaysia Masters dan Terbuka Singapura.

Kekalahan mereka semalam yang agak jinak 21-16, 21-14 menentang pemain nombor 25 dunia dari Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han hadir pada acara kompetitif terakhir mereka sebelum Sukan Olimpik Paris, dengan hanya berbaki enam minggu lagi.

“Kita mesti yakin dan percaya yang mereka akan kembali dan ‘meletup’. Demi Malaysia!” ujar Norza.