SELEPAS tujuh tahun berkhidmat, Tan Sri Norza Zakaria secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan keputusan itu diterima ahli majlis BAM pada Mesyuarat Majlis badan induk itu.
Norza dalam sidang media menjelaskan sudah banyak pembaharuan dilakukan sepanjang pentadbirannya terutama dalam menjadikan BAM sebagai badan sukan yang lebih profesional.
Beliau juga turut mengumumkan bahawa Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V Subramaniam akan berkhidmat sebagai pemangku presiden berkuat kuasa hari ini sehingga pemilihan diadakan tahun hadapan.
“Ini adalah mesyuarat terakhir saya sebagai presiden BAM dan juga mengumumkan bahawa Datuk V Subramaniam sebagai pemangku presiden.
“Selepas ini, saya ada manyandang beberapa jawatan sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia, Pengerusi jawatankuasa sukan untuk semua Majlis Olimpik Asia (OCA), Ahli Jawatan Kuasa Koordinasi untuk Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026.
“Saya rasa cukup untuk saya untuk menyumbang dalam sukan untuk dua tiga tahun akan datang dan saya akan ‘slow down‘ selepas itu,” katanya dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Sabtu.
Norza turut berharap pucuk kepimpinan yang bakal menerajui persatuan badan induk sukan badminton itu akan bersedia dan lebih terbuka untuk menerima apa sahaja yang ditempuh bagi sukan itu pada masa akan datang.
“Banyak perkara yang kita belum capai, tetapi kita telah mempunyai laluan dan platform untuk membawa sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi. Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan tetapi kita di laluan yang tepat,” jelasnya.
Sementara itu Subramaniam berkata dia bersedia untuk meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Norza dalam BAM pada masa akan datang.
“Kita semua tahu presiden telah meninggalkan sesuatu yang baik dalam BAM dan tiada apa yang perlu diubah setakat ini kerana apa yang penting adalah kita meneruskan perjuangannya,” katanya.
Norza sepatutnya memegang jawatan sebagai presiden pada penggal ini sehingga tahun depan tetapi pernah mengumumkan mahu melepaskan jawatannya pada Disember 2023 namun setelah dipujuk oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dia bersetuju untuk kekal sehingga Paris 2024.