AARON Chia-Soh Wooi Yik memang layak dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan 2022.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan pemilihan beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik sememangnya sebagai tepat.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata pasangan nombor empat dunia itu layak menerima anugerah berkenaan susulan kejayaan mereka menjadi wakil pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Dunia, tahun lalu.
“Saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka. Kerja keras dan pengorbanan serta tabah mengharungi kesukaran selain percaya dengan apa yang dilakukan antara kunci kepada kejayaan yang dikecapi dan menjadi satu legasi dalam arena sukan di Malaysia.
“Kami berharap kejayaan yang bersejarah yang ditempa oleh Aaron dan Wooi Yik ini akan memberi inspirasi kepada atlet muda untuk menjadi juara di pentas dunia dan Olimpik kelak,” katanya.
Aaron-Wooi Yik menjadi beregu ketiga memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1997 dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 2007.
Sementara itu, Norza turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah yang dipilih sebagai pemenang anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan 2022.
“Pearly-Thinaah juga menunjukkan peningkatan yang positif sepanjang 2022 dan saya yakin masih banyak lagi yang mahu mereka capai selepas ini.
“Saya berharap penghargaan yang mereka terima akan menaikkan lagi semangat juang untuk terus maju dan merealisasikan impian untuk menggapai kejayaan di pentas dunia dan Olimpik,” kata Norza.
Kejayaan muncul juara di Terbuka Perancis pada Oktober lalu serta meraih pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Ogos antara faktor yang meletakkan beregu wanita ranking ke-12 dunia itu dipilih untuk memenangi kategori Pasukan Wanita Kebangsaan 2022.
Malah gandingan itu juga terus menjadi harapan negara untuk mencipta kejayaan lebih besar termasuk ke temasya Olimpik Paris 2024.
Pada majlis Anugerah Sukan Negara 2022 semalam, Norza menaiki pentas mewakili beregu lelaki utama negara, menerima pengiktirafan itu, manakala anugerah diterima beregu wanita pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai.