PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kontijen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 berada di landasan yang tepat untuk menepati sasaran 27 pingat yang ditetapkan setelah seminggu temasya itu berlangsung.

Beliau berkata demikian selepas melihat prestasi Malaysia kini yang telah menggondol keseluruhan 20 pingat dengan tiga emas, empat perak dan 13 gangsa pada Ahad malah turut optimis Malaysia mampu mencapai lebih dari sasaran yang telah diletakkan sebelum ini.

“Saya berharap bahawa atlet yang masih lagi berjuang mempunyai semangat lebih untuk teruskan percapaian. Untuk capai sasaran 27 pingat, kita berada di landasan tepat dan saya yakin kita boleh dapat lebih dari 27 pingat.

“Rakyat perlu berdoa supaya kita bukan sahaja boleh capai lebih dari sasaran tetapi lebih pingat emas,” katanya selepas melancarkan musim ketiga Netball Super League (NSL) 2023 di ibu negara pada Isnin.

Dalam pada itu, Norza turut berharap lebih ramai atlet dapat dihantar untuk berpangkalan di luar negara dalam usaha memastikan atlet kebangsaan setaraf atlet berkelas dunia pada masa akan datang.

Ini melihat kejayaan dua atlet olahraga, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy yang berpangkalan di Amerika Syarikat berjaya meraih pingat gangsa pada penampilan sulung mereka di Sukan Asia.

“Selayaknya atlet yang layak perlu keluar negara, kerajaan perlu cari dana yang bersesuaian sama ada dari kerajaan sendiri atau sektor swasta untuk mencapai impian mereka menjadi atlet berkelas dunia,” tambahnya.

Selain itu, Netball Super League 2023 bakal membuka tirai di Stadium Juara bermula 13 Oktober hingga 5 November menyaksikan saingan lapan pasukan iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pasukan baru Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites yang akan memburu mahkota kejuaraan bagi edisi kali ini.

Persaingan musim ketiga ini akan bertambah dramatik dan rancak dengan kehadiran 11 pemain import dari tujuh negara iaitu Uganda, Afrika Selatan, Singapura, United Kindom, Thailand, Brunei dan Sri Lanka.