NOTTINGHAM Forest berjaya kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas 23 tahun apabila berjaya memenangi perlawanan playoff Liga Kejuaraan menewaskan Huddersfield Town 1-0 di Stadium Wembley, London.

Forest yang menamatkan liga di tangga keempat layak ke final playoff selepas mengenepikan Sheffield United dan gol sendiri oleh pemain Huddersfield, Levi Colwill sudah cukup untuk memberikan mereka tiket kenaikan ke Liga Perdana.

Huddersfield pula yang menamatkan liga di tangga ketiga terpaksa akur dengan kekalahan ini dan kekal di dalam Liga Kejuaraan untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

Notthingam Forest adalah gergasi Eropah pada lewat 70an dan awal 80an di bawah kendalian Brian Clough dan Peter Taylor termasuk memenangi dua kejohanan Eropah berturut-turut pada 1979 dan 1980.

Setelah melalui empat kekalahan berturut-turut pada awal musim, pengurusan Forest memecat Chris Hughton dan melantik Steve Cooper yang berjaya menukar nasib Forest dari tangga terbawah liga hingga layak ke Liga Perdana.

35,000 penyokong Forest yang hadir di Wembley nyata tidak dapat menahan perasaan sebak dan terharu menyaksikan kelab kebanggaan mereka kembali bertarung di liga tertinggi England selepas sengsara selama 23 tahun.

Forest kini akan mengikut jejak Fulham dan Bournemouth yang layak secara automatik ke Liga Perdana menggantikan Burnley, Watford dan Norwich City yang tersingkir.