NOVA Widianto mahu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei layak ke Sukan Olimpik Paris sebagai pilihan keempat.
Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mendedahkan, perkara itu sudah dibincangkan beliau bersama jurulatih beregu campuran terbabit, dalam usaha memastikan laluan pemain negara di temasya sukan terbesar dunia di Paris nanti, lebih mudah.
“Perbincangan saya dengan Nova, beliau mahu mereka (Tang Jie-Ee Wei), sebelum keluar seeding Olimpik, mereka berada di posisi pilihan keempat atau sekurang-kurangnya lima.
“Tetapi kita harus realistik mata dia, dalam masa sama tidak mustahil boleh terjadi sekiranya melakukan kejutan juara dua kali Super 1,000, dua kali Super 750, tapi sekurang-kuranngnya Top 5 lah,” kata Rexy, pada sidang media pemain badminton Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Kompleks ABM.
Dalam pada itu, Nova berkata, beliau merancang untuk Tang jie-Ee Wei tetap menyertai banyak kejohanan termasuk bertaraf Super 300.
Meskipun Rexy meletakkan situasi gandingan itu 70 hingga 80 peratus untuk mengesahkan slot ke Olimpik Paris, Nova tidak mahu pemainnya keciciran di penghujung perlumbaan hanya semata-mata terlalu yakin sudah layak.
“Saya tak mahu terlalu yakin, sehingga benar-benar selamat. Gandingan di bawah mereka mungkin menjadikan kejuaraan di Super 100, Super 300 untuk memungut mata maksimum, jadi kita masih fokus ‘menjaga’ mata sebab itu kejohanan 300 di Thailand juga kita akan sertai,” kata Nova.
Tang Jie-Ee Wei kini menghuni tangga kesembilan dunia dan berada di posisi sama perlumbaan ke Paris 65,478 mata.
Namun untuk mengejar posisi pilihan keempat, mereka perlu mengejar gandingan Korea, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung yang mengumpul 86,446 mata.
Begitupun, untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris, mata keseluruhan terkumpul bukan menjadi kiraan sebaliknya hanya mata tertinggi daripada 10 kejohanan dalam tempoh kelayakan, akan diambil kira.
Cabaran Tang Jie-Ee Wei bermula dengan Terbuka Malaysia minggu hadapan, akan membuka tirai saingan menentang pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.