KEKALAHAN seawal pusingan pertama di Terbuka Hong Kong September lalu, menjadi jodoh terakhir buat Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing, apabila barisan kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) memutuskan untuk merombak pasangan itu.

Ini berikutan formula gabungan dua pemain yang disandarkan sebagai beregu campuran kedua dari ABM, agak kurang menjadi di kejohanan besar, biarpun mereka berjaya meraih kejuaraan di Cabaran Antarabangsa Maldives Jun lalu, dan naib juara Cabaran Antarabangsa Fajr di Iran, pada Februari selain juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 pada Disember tahun lalu.

Jurulatih beregu campuran, Nova Widianto berkata, Pang Ron, 25, segera dipasangkan dengan Cheng Su Yin, untuk menghadapi saingan Masters Korea di Gwangju bermula esok (Selasa).

Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing meraih dua gelaran sejak digandingkan hujung tahun lalu, namun gagal menyerlah di kejohanan besar.

“Pang Ron tidak lagi bergandingan bersama Mei Xing. Kalau kita tengok keputusan dalam kejohanan-kejohanan yang disertai mereka juga kurang bagus.

“Jadi, selepas perbincangan kita memutuskan untuk menggandingkan Pang Ron dengan Su Yin. Ini juga bagi membolehkan Mei Xing memberi fokus sepenuhnya dalam acara beregu wanita,” kata Nova.

Justeru, gandingan Pang Ron-Mei Xing hanya bertahan lebih kurang 10 bulan.

Cheng Su Yin berjaya sumbang pingat perak buat skuad badminton di Sukan Sea Kemboja ketika digandingkan bersama Yap Roy King.

Menurut Nova, pemilihan Su Yin, 20, yang memenangi pingat perak Sukan Sea Kemboja bersama Yap Roy King, sebagai pasangan baharu Pang Ron dibuat berdasarkan karakter dimiliki pemain itu yang dilihat mampu mengimbangi gaya permainan Pang Ron di gelanggang.

“Ini belum tetap kerana kami mahu menilai mereka dalam tiga atau empat kejohanan terlebih dahulu.

“Dalam latihan, mereka menunjukkan prestasi yang sangat bagus tetapi apabila beraksi di kejohanan, sudah tentu ia berbeza. Jadi, kami mahu menilai kombinasi mereka dulu,” kata Nova.

Pang Ron-Su Yin akan membuka tirai saingan di Masters Korea menentang wakil tuan rumah, Wang Chan-Shin Seung Chan di pusingan pertama.