PINGAT perak yang dimenangi pada Sukan Olimpik Beijing 2008, satu kebanggaan namun Nova Widianto tidak mahu terus menjadi yang kedua, dan kini mengerah segala keringat dan pengalamannya untuk membantu pemain negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menggapai emas.

Jurulatih beregu campuran itu berkata, hasratnya itu sememangnya disedari Tang Jie-Ee Wei, namun yang mungkin memisahkan pendapat antara jurulatih dan pemain itu hanyalah kepercayaan.

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yakin Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempunyai tahap kemahiran setaraf pemain lain namun perlu meletak kepercayaan terhadap kebolehan diri.

Menurut beliau, Tang jie-Ee Wei yang menghuni ranking kesembilan dunia memiliki kebolehan yang tinggi namun harus meletakkan kepercayaan diri terhadap kebolehan yang ada.

“Tang Jie-Ee Wei mungkin tidak melihat diri mereka sebagai pemain yang layak berada di kelompok atas, tetapi saya melihat mereka begitu.

“Mereka hanya perlu kekal yakin dan mempercayai bahawa kebolehan mereka itu mampu membawa kejayaan, terutamanya selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan pada tiga kejohanan terakhir di rantau Asia,” kata Nova.

Chen Tang Jie-Toh ee Wei mempunyai kebolehan yang digeruni lawan.

Nova yang meraih pingat perak beregu campuran bersama Liliyana Natsir, dikecewakan pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung pada final Olimpik Beijing.

“Sebagai jurulatih, sememangnya saya mempunyai impian. Saya pernah melatih Tontowi Ahmad dan Liliyana di Indonesia dan saya harap Tang Jie Ee Wei juga memenangi emas.

“Setiap jurulatih pasti mempunyai impian melihat anak didiknya muncul juara,” ujar Nova lagi.

Ketika beliau melatih Tontowi-Liliyana, gandingan itu meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2016 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.

Nova memberitahu, beliau sering menasihati Tang Jie-Ee Wei agar melupakan episod kekalahan lalu dan melunaskannya dengan prestasi terbaik dan semangat juang di Olimpik Paris.