ACARA Golf Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) 2024 berlangsung penuh gemilang dengan kehadiran Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai tetamu kehormat di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya pada Selasa.
Pasangan diRaja itu bukan sahaja memeriahkan acara golf tetapi turut menghiburkan hadirin dengan nyanyian, mencipta detik istimewa bersama wartawan dan jemputan lain.
Menurut Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan, acara ini bukan sekadar platform untuk berkumpul, tetapi juga bertujuan mengumpul dana kebajikan bagi wartawan yang memerlukan.
“Tujuan utama kami adalah untuk menyatukan wartawan dengan pelbagai pihak, termasuk perniagaan pertahanan dan perusahaan, sambil terus menyokong kebajikan mereka,” katanya.
Jelasnya, acara golf yang kembali selepas sedekad ini mendapat sokongan padu daripada penaja dan peserta. Walaupun keuntungan yang diperoleh sederhana, dana tersebut cukup untuk menyokong kelangsungan kelab selama beberapa bulan.
NPC juga terus komited melaksanakan kursus dan program latihan untuk wartawan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Ahirudin turut menyeru lebih ramai pengamal media terutama generasi muda, untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh kelab yang telah wujud sejak 1948 ini.
“Kelab ini bukan sekadar tempat minum seperti yang sering disalah anggap. Kami menjaga kebajikan wartawan dan berharap lebih ramai menyertai aktiviti kelab pada masa hadapan,” tambahnya.
Acara ini membuktikan NPC masih relevan dan terus berperanan penting dalam memperkasakan komuniti wartawan sambil menyemarakkan semangat persaudaraan dalam industri media tanah air.