SKUAD Negeri Sembilan FC (NSFC) masih merahsiakan identiti ketua jurulatih baharunya untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25 namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Faliq Firdaus memberikan beberapa bayangan mengenai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan itu.
Faliq mengakui mereka akan melantik seorang jurulatih tempatan yang berpengalaman dalam Liga Super dan pernah berbakti dengan Negeri Sembilan sebelum ini
“Ianya jurulatih tempatan dan dan dia berpengalaman juga melatih pasukan Liga Super pada musim lepas,” katanya ketika ditemui pengamal media selepas Medical Conference 2024 anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Antara bayangan tambahan yang turut diberikan ialah ketua jurulatih itu pernah bersama pasukan Negeri Sembilan sebelum ini dan pihaknya akan membuat pengumuman perlantikan pada awal Mac sebagai persiapan menghadapi musim baharu liga.
Sementara itu, Faliq juga menjelaskan mereka tidak akan memenuhkan kuota sembilan pemain import seperti yang dibenarkan oleh pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) sebaliknya hanya bercadang untuk menggunakan khidmat lima pemain import sahaja untuk mengisi beberapa posisi penting dalam kesebelasan utama.
“Lima pemain ni daripada pelbagai negara, ada di position bek tengah, pemain tengah bertahan, pemain tengah menyerang dan penyerang,” jelasnya.
Tiada sebarang bayangan khusus diberikan mengenai pemain-pemain import tersebut namun difahamkan pemilihan para pemain itu telah dibincangkan bersama dengan ketua jurulatih baharu serta barisan kejurulatihan termasuk Pengarah Teknikal Effendi Abdul Malek.
Negeri Sembilan FC juga kini dalam proses perbincangan dengan seorang bekas pemain kebangsaan yang boleh dianggap sebagai ‘marquee signing yang mampu menarik penyokong untuk hadir ke stadium kerana pemain itu popular dan berpengaruh.
“Kita sedang berunding dengan seorang bekas pemain kebangsaan, saya rasa dia masih aktif bermain, itu kita sasarkan jadi kita punya ‘marquee signing’,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Efendi Malek dilantik Pengarah Teknikal Negeri Sembilan FC
Secara keseluruhan, pembentukan skuad Hoben Jang Hoben untuk musim ini sudah mencapai tahap 80 peratus dengan sembilan hingga sepuluh orang pemain daripada skuad musim lepas dikekalkan.