NEGERI SEMBILAN FC (NSFC) melancarkan pembukaan NSFC Sports Physio Centre di Wisma PBNS, Rahang sebagai pusat fisioterapi buat para pemain skuad utama hingga akademi yang turut dibuka kepada orang awam hasil usahasama antara NSFC dengan PhysioDoc

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YTM KOL (K) Tunku Syed Razman Bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Pengerusi NSFC.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus menjelaskan objektif pembukaan NSFC Physio Centre adalah bagi memberi dan menyediakan fasiliti terbaik kepada para pemain Negeri Sembilan FC, selain menjadi salah satu cabang perniagaan untuk kelab.

Faliq (kanan) ketika majlis perasmian NSFC Sports Physio Centre (kredit foto: NSFC)

“Pusat fisioterapi ini disediakan untuk memenuhi keperluan atlet dari pelbagai peringkat, sama ada profesional atau amatur yang ingin memulihkan kecederaan. Selepas ini, semua pemain profesional NSFC akan menjalani rawatan rehabilitasi di pusat ini.

“Pembukaan NSFC Sports Physio Centre ini juga adalah sebahagian daripada usaha NSFC untuk memperbaharui pelan perniagaan kelab disamping mendekatkan diri dengan khalayak ramai dan sebagai satu langkah ke hadapan dalam memastikan kelestarian kelab dan kesejahteraan pemain terus terjaga.

“Kami percaya, perkhidmatan yang ditawarkan dapat memberikan sokongan terbaik kepada bukan sahaja pemain bola sepak, malah atlet lain untuk pulih dari kecederaan dan meningkatkan prestasi mereka, serta membantu orang awam mencapai gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Pengerusi NSFC, Tunku Syed Razman Bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri meninjau sendiri fasiliti yang ada di NSFC Sports Physio Centre (kredit foto: NSFC)

Perkhidmatan yang disediakan di NSFC Physio Centre merangkumi khidmat fisioterapi, urutan sukan, bekam dan sebagainya yang dilengkapi dengan kemudahan terkini dan tenaga pakar berpengalaman untuk memastikan setiap individu mendapat servis yang terbaik.

Sempena pembukaan ini, NSFC Sports Physio Centre menawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk khidmat urutan sukan dan fisioterapi bermula 4 Julai hingga 15 Julai 2024.