NEGERI Sembilan FC (NSFC) sudah bersedia untuk memulakan kempen Liga Super 2024-25 selepas berehat pada minggu pertama namun terpaksa berhadapan cabaran juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Skuad Jang yang dibarisi banyak pemain-pemain baharu bagaimanapun teruja dengan cabaran ini meskipun sedar akan kekuatan dan kualiti yang ada pada skuad Harimau Selatan dan akan menilai kekuatan pasukan sendiri sebagai persiapan memulakan liga.
Bagaimanapun pengendali baharu NSFC, Azzmi Aziz sedikit terkilan kerana tidak dapat menyaksikan perlawanan pertama JDT kerana pembatalan perlawanan Piala Sumbangsih ekoran ketidak hadiran skuad Selangor FC yang sedikit menggangu persiapannya.
“Walaupun setakat ini kita belum menyaksikan persembahan JDT musim ini tetapi kita tahu mereka ada kekuatan yang sangat bagus dari setiap sudut termasuk barisan pemain simpanan yang menganggotai skuad itu.
“Untuk itu, kita perlu lihat balik apa kekuatan yang ada dalam skuad kita dan perlu buat persiapan lebih rapi supaya pasukan boleh memberikan aksi terbaik tentangan sengit terhadap lawan.
“Secara peribadi, saya suka dengan cabaran pertama ini dan tetap optimis dengan kemampuan pasukan untuk memberikan cabaran terhadap JDT, walaupun barisan pemain yang kita ada tidak sehebat pasukan lain terutama JDT itu sendiri,” katanya.
JDT sudah pasti akan menggunakan perlawanan di tempat sendiri ini untuk memulakan kempen dengan bergaya dan mahu melaungkan amaran awal buat kesemua pasukan yang bertanding.
Selepas menamatkan kempen pramusim dengan baik di Sepanyol, skuad kendalian Hector Bidoglio itu semakin bersemangat dan Negeri Sembilan dilihat bakal menjadi mangsa pertama Harimau Selatan musim ini.
JDT turut diperkuatkan dengan beberapa pemain import baharu berkualiti seperti pemain kebangsaan Syria, Jalil Elias yang akan menambah kekuatan barisan tengah dan ini adalah sesuatu yang mengujakan para penyokong.
Aksi pada sebelah petang ini sudah pasti akan menjadi tumpuan utama perlawanan minggu kedua Liga Super dan Stadium Sultan Ibrahim dijangka akan dipenuhi lautan merah biru untuk perlawanan pertama kedua-dua pasukan ini.