NEGERI Sembilan FC (NSFC) bertindak melakukan penstrukturan semula pengurusan dan hala tuju pasukan dalam Liga Malaysia dengan melantik Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu selain melepaskan K.Devan dari kerusi ketua jurulatih.
Perkara ini disahkan selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Kali Ketiga 2022-2025 yang turut meyaksikan penglibatan ahli-ahli jawatankuasa baharu iaitu Timbalan Presiden, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Naib Presiden, Mustapha Nagoor dan Ahli Jawatankuasa, Datuk Mohd Khidir Majid.
Penstrukturan semula ini melibatkan enam teras utama iaitu pengenalan falsafah bola sepak kelab, pelan perniagaan baharu, penstrukturan semula tangga gaji, pembangunan infrastuktur, pembangunan pasukan belia dan pemerkasaan hubungan antara pemegang taruh.
Menurut Presiden PBNS, TYT Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri merangkap Tunku Besar Tampin, penstrukturan ini dicadangkan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif PBNS dan dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah NSFC.
Untuk memastikan langkah penstrukturan ini berjalan lancar, satu jawatankuasa pemilihan telah dibentuk yang terdiri daripada pengurusan tertinggi kedua-dua entiti.
NSFC juga mendapat teraju baharu dalam penstrukturan semula pengurusan dan hala tuju NSFC ini dengan Setiuasaha Eksekutif PBNS, Faliq Firdaus dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu menggantikan Satwant Singh.
Selain itu skuad Jang juga tidak lagi menggunakan khidmat K.Devan selaku ketua jurulatih dan kini dalam proses sedang memilih jurulatih baharu untuk mengisi posisi berkenaan.
Negeri Sembilan FC menamatkan saingan Liga Super musim 2023 di tangga kesembilan dengan 27 mata dari 26 perlawanan dan ini mendesak perubahan drastik dilakukan pihak pengurusan bagi memastikan skuad Jang kembali memberikan saingan menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25 yang akan bermula pada Mei 2024.