PASUKAN Selangor Angels berjaya mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan mereka di Netball Super League (NSL) selepas menewaskan Kedah Sunshine 64-36 dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Gandingan Aminah Ahmad dan L.Karisma menjadi penentu kejayaan Selangor Angels apabila berjaya menjaringkan 56 mata manakala Yati Akhtar menyumbang lapan lagi mata untuk Selangor Angels menang dengan bergaya.

Dalam satu lagi aksi pada sebelah petang, Perak Phoenix juga cemerlang apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menumpaskan Melaka Mystic 56-31.

Khairunnisa Nazri sekali lagi cemerlang memberikan mata demi mata buat Phoenix dengan 37 mata dan dibantu S.Sharvina yang menyumbang 11 mata untuk ketepatan balingan sebanyak 82 peratus.

Sementara itu juara bertahan, KL Wildcats semakin garang apabila menang bergaya ke atas Negeri Sembilan Venom 62-31 untuk mengukuhkan kedudukan di dalam carta liga.

Pemain GS dan GA KL Wildcats nyata berbisa apabila berjaya menjaringkan 54 mata ketika gandingan penjaring Negeri Sembilan Venom dilihat kurang menyengat dalam perlawanan ini.

Johor Jewels mengekori rapat KL Wildcats apabila turut mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Pahang Tulips 75-34 pada aksi terakhir hari kedua.

Gandingan An Najwa, Athekah Ammalia, Aina Raziani dan Sirima Samnaree sekali lagi muncul watak penting buat Johor Jewels yang dilihat selesa menguasai keseluruhan perlawanan.

Empat lagi perlawanan bakal berlangsung esok dengan Negeri Sembilan Venom bakal bertemu Kedah Sunshine dan Pahang Tulips menentang Melaka Mystic pada sesi petang. Sesi malam menemukan Perak Phoenix dengan Johor Jewels sebelum Selangor Angels bertemu KL Wildcats.