PEMAIN antarabangsa Sri Lanka yang kini beraksi bersama pasukan Johor Jewels, Gayani Samanthika percaya penglibatan atlet antarabangsa dalam Netball Super League (NSL) boleh membantu skuad bola jaring Malaysia untuk bersaing lebih baik di peringkat global.
Pemain kelahiran Kandy itu menyertai Johor Jewels dan diberi cuti latihan oleh majikannya kerana NSL adalah sebahagian daripada rangka latihan buat Gayani bagi menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia bagi memastikan Sri Lanka terus mempertahankan trofi kejuaraan.
Bekerja sebagai pegawai bank, Gayani memilih NSL kerana ketika ini hanya Malaysia yang melangsungkan liga dan dia memilih Johor Jewels kerana hubungan rapatnya dengan kapten pasukan, Pow Mei Foong.
“Bola jaring Malaysia akan mendapat banyak manfaat dengan pembukaan kuota pemain antarabangsa.
“Ianya akan membantu para pemain mempelajari lebih banyak teknik permainan sekaligus boleh membantu Malaysia memperbaiki ranking.
“Saya memilih NSL kerana ia memberikan saya latihan yang baik kerana liga ini sangat kompetitif dengan barisan pemain yang bagus dan lebih pantas dan teknikal berbanding di Sri Lanka.
“Johor Jewels menjadi destinasi saya kerana saya mengenali Mei Foong secara peribadi dan saya tidak akan melepaskan peluang jemputan ini untuk beraksi dan ianya juga menepati kehendak latihan pasukan kebangsaan Sri Lanka,” katanya semasa temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.
Kehadiran Gayani dilihat membantu Jewels di bahagian pertahanan dengan aksi tenang yang ditampilkan pemain yang menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asia 2019 ini dengan pasukan dari selatan itu cuba untuk muncul juara NSL 2022.