PEMINAT dan penyokong sukan bola jaring pastinya akan dihidangkan dengan aksi terbaik pada final Netball Super League (NSL) apabila dua pasukan pilihan, Johor Jewels dan KL Wildcats bakal bertarung di Stadium Juara Bukit Kiara malam ini.

Kedua-dua pasukan mengulangi final NSL 2021 dengan kali ini Johor Jewels dilihat mampu merampas takhta juara daripada KL Wildcats namun juara bertahan ini masih mempunyai kekuatan tersendiri untuk mengekalkan kejuaraan.

Jewels layak ke final selepas menewaskan Pahang Tulips dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam NSL manakala Wildcats bertarung sengit dengan Selangor Angels sebelum mengesahkan tempat ke final.

 

Wildcats sudah pasti mahu menebus kekalahan ketika peringkat round robin dengan aksi pantas sekali lagi dijangka ditampilkan oleh mereka untuk memecah benteng pertahanan Jewels yang cemerlang.

Kapten Pasukan Jewels, Pow Mei Foong menjangkakan perlawanan yang sukar dan mahu rakan sepasukan mengurangkan kesilapan serta kekal fokus hanya kepada permainan untuk muncul juara buat kali pertama.

“Ianya pasti satu perlawanan yang sukar tetapi kami mahu memastikan kami akan mengurangkan segala kesilapan dan berjuang terus hingga mencapai kejayaan,” jelasnya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Keyakinan yang sama turut dilaung ketua pasukan Wildcats, Diyanah Sabadinee yang pastinya mahu mengekalkan kejuaraan buat Kuala Lumpur sekali lagi.

“Kami akan bermain dengan lebih baik dan pastinya kami ingin mengekalkan kejuaraan tetapi fokus kini hanyalah kepada perlawanan akhir ini dan Jewels adalah lawan yang sukar tetapi kami yakin dengan kemampuan kami,” ujarnya kepada Flash Sukan.

Tiket untuk perlawanan akhir ini telah habis dijual dalam masa sejam dan kehadiran penyokong yang ramai pasti akan mewujudkan atmosfera yang menakjubkan dan akan menyuntik semangat para pemain dalam final yang dinanti-nantikan.

Kejohanan Netball Super League ini dilihat berjaya mencapai objektif untuk melahirkan pemain bola jaring terbaik negara apabila banyak bakat baharu yang masih muda membuktikan kemampuan masing-masing dalam meraih kejayaan berpasukan.

Juara NSL akan menerima hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi dan medal manakala naib juara pula menerima hadiah wang tunai RM10,000 beserta medal.