JOHOR Jewels dan KL Wildcats semakin menghampiri perebutan kejuaraan Netball Super League (NSL) 2022 apabila berjaya menumpaskan lawan masing-masing dalam aksi di Stadium Juara Bukit Kiara pada Ahad.

Jewels bergaya menewaskan Melaka Mystic 68-24 dengan gandingan empat GA dan GS mereka mengganas apabila menjaringkan mata demi mata untuk kemenangan kelima dari lima perlawanan.

Kemenangan Jewels dibalas oleh pencabar utama, KL Wildcats apabila membenam cabaran Kedah Sunshine 75-41 dengan Yeoh Pek Xian dan Najiha Iman masing-masing cemerlang menjaringkan mata buat pasukan mereka.

Pasukan meningkat naik, Pahang Tulips semakin menunjukkan penguasaan apabila membenam Perak Phoenix 78-58 dengan GS Tulips, Maisarah Affandi unggul dengan 71 mata untuk kemenangan keempat berturut-turut.

Pada aksi terakhir minggu kedua ini, Selangor Angels mengatasi Negeri Sembilan Venom 44-36 dalam perlawanan yang cukup sengit dengan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan dimana Aminah Ahmad dan L.Karisma sekali lagi cemerlang mengutip mata buat Angels.

Selepas berakhir minggu kedua, Jewels mendahului takhta dan berkongsi 15 mata dengan Wildcats manakala Angels dan Tulips di tangga ketiga dan keempat dengan 12 mata.

 

Phoenix kekal di tangga kelima dengan enam mata manakala Venom dan Sunshine keenam dan ketujuh dengan tiga mata dan Mystic kekal di tangga terbawah tanpa sebarang mata.