JOHOR Jewels dan KL Wildcats mengulangi final NSL 2021 apabila sekali lagi akan berentap dalam perlawanan akhir Netball Super League (NSL) 2022 selepas menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir.

Johor Jewels layak ke final selepas mengenepikan cabaran Pahang Tulips 73-54 dalam separuh akhir pertama yang menyaksikan empat pemain serangan Jewels bergilir-gilir memungut mata untuk mengecewakan barisan muda Tulips.

An Najwa Azizan menjaringkan 56 mata dan bintang import Sirima Samnaree berjaya menyumbang 18 mata manakala dua GS muda Jewels, Athekah Ammalia dan Nadia Natasha pula memberikan enam mata tambahan.

Sementara itu, Pahang Tulips harus berbangga dengan pencapaian mereka terutama Maisarah Affandi yang sekali lagi cemerlang menyumbang 51 mata untuk muncul antara GS dengan jaringan terbanyak dalam NSL musim ini.

Selain itu,  dalam satu lagi perlawanan separuh akhir kedua, juara bertahan, KL Wildcats berjaya menyerap tekanan awal yang diberikan Selangor Angels sebelum menang 57-50 untuk sekali lagi ke perlawanan akhir.

Pemain-pemain Wildcats sekali lagi membuktikan kemampuan mereka sebagai calon juara dengan aksi yang pantas sekaligus mengecewakan Angels yang terpaksa akur dengan keputusan ini.

Gandingan Intan Balqis dan Diyanah Sabadinee nyata menjadi duri dalam daging buat Angels apabila persembahan konsisten mereka berjaya menyumbang 54 mata buat Wildcats.

Angels juga tidak mengalah dengan Siti Aminah Ahmad dan L.Karisma bergabung menyumbang 47 mata dan kapten pasukan, Yati Akhtar menjaringkan tiga mata namun tidak mampu menyekat hajat Wildcats ke final.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung esok pada jam 8 malam manakala perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat pula akan berlangsung pada jam 5 petang dengan kedua-dua perlawanan dilangsungkan di Stadium Juara Bukit Kiara.