SKUAD pilihan juara, Johor Jewels mengesahkan tempat teratas liga dan laluan lebih mudah di separuh akhir selepas mengatasi Selangor Angels 57-25 dalam aksi terakhir liga di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Gandingan An Najwa Azizan dan Athekah Ammalia sekali lagi menjadi senjata utama Jewels dengan kedua-dua penyerang ini berjaya menghasilkan mata demi mata sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka.

Walaupun dilihat mampu mencabar Jewels pada suku pertama, Selangor Angels terpaksa akur dengan kehebatan lawan pada babak kedua dan akhirnya menamatkan liga di tangga ketiga.

 

Pada perlawanan sebelah petang, Negeri Sembilan Venom dan Melaka Mystic bersaing hebat sebelum tuah menjadi milik Mystic untuk menang 43-42 sekaligus berjaya mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Netball Super League (NSL).

Venom seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal mempertahankan kelebihan ketika permainan berbaki seminit hingga membolehkan Mystic bangkit mencatat kemenangan sekaligus meraih tiga mata.

Kuala Lumpur Wildcats pula mengesahkan tempat kedua dalam liga selepas membenam cabaran Pahang Tulips 77-52 dengan Intan Balqis sekali lagi cemerlang dengan 51 mata.

Walaupun Maisarah Affandi berjaya mendapatkan 46 mata namun ianya belum mencukupi buat Tulips untuk menyekat Wildcats namun mereka berjaya mencapai sasaran empat teratas liga.

Peringkat separuh akhir akan berlangsung minggu hadapan dengan Johor Jewels akan bertemu Pahang Tulips manakala KL Wildcats pula dijadualkan bertemu Selangor Angels bagi merebut tempat ke perlawanan akhir.