KEJOHANAN Netball Super League 2022 (NSL) mendapat tambahan semangat apabila penyokong kembali dibenarkan hadir untuk memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Format kejohanan tahun ini juga ditambah baik dengan pertandingan diadakan secara round robin melibatkan lapan pasukan berbanding dibahagikan kepada dua kumpulan pada musim lalu.
Ini memberikan lebih masa permainan kepada setiap pasukan apabila akan berhadapan sesama sendiri sebelum dinobatkan sebagai juara NSL 2022.
Selain itu kehadiran pemain import yang menyertai pasukan Johor Jewels juga dilihat akan memberikan cabaran baharu kepada para pemain selain memberikan nilai tambah kepada para penyokong.
Kehadiran pemain antarabangsa ini dijangka dapat menambahkan lagi nilai NSL dan dengan semua perlawanan disiarkan secara langsung ia sekaligus dapat meningkatkan nilai komersil dari sudut tajaan dan hak penyiaran.
Untuk menambahkan lagi kehangatan NSL 2022, hadiah wang tunai yang ditawarkan kepada juara ditingkatkan sekali ganda kepada RM20,000 berbanding RM10,000 pada musim lalu.
Tambah menarik dua pasukan terbawah NSL 2022 akan disingkirkan dan akan terpaksa melupakan aksi musim hadapan apabila tempat mereka akan digantikan dengan dua pasukan negeri yang lain.
Mekanisma pemilihan pasukan baharu itu akan diputuskan oleh pihak Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) menerusi satu mesyuarat khas dengan pasukan negeri yang sering menyertai kejohanan anjuran PJBM akan diberikan keutamaan.
NSL 2022 akan bermula dari 3 hingga 26 Jun dengan lapan pasukan akan berentap bagi merampas gelaran juara dari juara bertahan, KL Wildcats.