PASUKAN Johor Jewels menepati sasaran untuk ke pentas akhir Bola Jaring Liga Super (NSL) 2023 buat kali ketiga berturut-turut.

Ternyata anak didik Tracie Robinson berjaya menempah slot ke final esok (Ahad) apabila meninggalkan Perak Phoenix dengan keputusan 53-43 pada saingan separuh akhir sejurus mengekalkan rekod menang tanpa kalah dalam kesemua lapan perlawanan untuk menerajui carta liga.

Pemain sensasi Johor Jewels, An Najwa Azizan sempat memberitahu kepada Flash Sukan bahawa dia sudah menghidu tentangan yang akan diberikan oleh pihak lawan, Phoenix pada aksi separuh akhir ini.

Namun baginya, pasukannya berjaya menepis segala ancaman yang diberikan oleh pemain-pemain lawan sekali gus dapat menempah slot ke perlawanan akhir.

“Saya sedar semua pasukan termasuk Perak Phoenix mempunyai kelebihannya tersendiri dan pasukan kami akan cuba menjejaki pasukan-pasukan ini semula pada musim hadapan.

“Pastinya jika KL Wildcats yang akan menjadi tentangan kami di final esok, kami akan buat yang terbaik dan fokus untuk menghadapi saingan dengan prestasi yang sangat baik.

“Harapan saya hanya mahu mengambil peluang kejayaan dan gelaran juara untuk NSL tahun ini,” ujarnya kepada Flash Sukan.

Untuk rekod, Johor Jewels telah menerajui perlawanan selaku juara NSL 2022 dan naib juara NSL 2021.

Saingan perlawanan satu lagi aksi separuh akhir antara KL Wildcats dan Putrajaya Dynamites berlangsung tepat jam 4 petang ini juga di Stadium Juara, Bukit Kiara.