SKUAD bola jaring, Johor Jewels menjadikan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai inspirasi untuk mereka mempertahankan kejuaraan Netball Super League (NSL) selepas muncul pendahulu liga dengan kemenangan 100 peratus selepas tujuh perlawanan.

Johor Jewels kini layak ke peringkat separuh akhir untuk bertemu Perak Phoenix dalam laluan untuk mempertahankan kejuaraan sekali gus menjadi pasukan pertama yang berjaya muncul juara NSL dua kali berturut-turut.

Pengendali Jewels, Tracie Robinson yang ditemui selepas perlawanan mengakui ianya perkara paling sukar untuk mempertahankan kejuaraan dan melihat JDT berjaya melakukannya sebanyak 10 kali berturut-turut adalah satu pencapaian luar biasa dalam sukan.

“Ianya adalah perkara yang paling sukar dan melihat bagaimana JDT lakukannya 10 kali berturut-turut adalah sesuatu yang luar biasa. Untuk menang berganda sangat sukar kerana lawan mula mengkaji permainan kami tetapi kami akan ambil satu demi satu perlawanan terlebih dahulu.

“Sudah tentu JDT menjadi inspirasi kami kerana untuk sesebuah pasukan itu menang 10 kali berturut-turut sudah tentu mereka lakukan sesuatu yang tepat. Kami berbangga kerana mendapat sokongan penuh daripada Che Puan Khaleeda dan TMJ sendiri.

“Kami juga mencontohi ‘winning mentality‘ dari JDT dan saya gembira melihat para pemain bertambah baik dari satu perlawanan ke perlawanan dan sentiasa mempunyai mentaliti kemenangan untuk tidak membenarkan lawan bangkit menewaskan kami,” katanya.

Dalam perlawanan terakhir liga pada Ahad, Johor Jewels mengenepikan cabaran hebat pendatang baharu, Putrajaya Dynamites yang dibarisi ramai pemain kebangsaan 48-40 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dan kini selangkah ke final untuk meraih kejuaraan kedua berturut-turut.