TIRAI Netball Super League 2023 (NSL) bakal dibuka pada 13 Oktober 2023 dengan pertandingan musim ketiga ini akan menyaksikan juara bertahan, Johor Jewels akan ditentang hebat oleh tujuh pasukan lain bagi merebut gelaran juara.

Selain Johor Jewels, lima pasukan sedia ada — Pahang Tulips, Negeri Sembilan Venom, Perak Phoenix, Kuala Lumpur Wildcats dan Selangor Angels serta dua pasukan baharu, Putrajaya Dynamites dan Terengganu Marvels bakal bertarung di Stadium Juara, Bukit Kiara dengan aksi final dijadualkan pada 5 November 2023 yang pastinya menjanjikan satu persaingan bola jaring yang sangat menarik.

Pendatang baharu, Putrajaya Dynamites jelas mahu membuktikan penglibatan mereka musim ini bukan sekadar menimba pengalaman sebaliknya mahu mencabar kejuaraan dengan barisan pemain yang cukup handal dan berpengalaman.

Putrajaya Dynamites berjaya mendapatkan khidmat Pemain Paling Bernilai (MVP) NSL 2022, Nordiyanah Sabadinee selain dua penjaring kebangsaan, Puteri Intan Balqis dan Maisarah Affandi serta pemain berpengalaman, Shamilla Shamsudin dan L. Karishma yang pastinya bakal menjadi pencabar utama musim ini.

Dikendalikan oleh bekas pemain kebangsaan, Puah Pei San, Putrajaya Dynamites juga mempertaruhkan dua pemain import dari United Kingdom, Sam Burrows dan pemain Singapura, Diyana untuk menambah kekuatan pasukan yang muncul buat pertama kali di pentas NSL.

Kapten pasukan, Shamilla Shamsudin atau lebih mesra disapa Amy berkata gabungan pemain dari beberapa pasukan sebelum ini menyaksikan Putrajaya Dynamites akan tampil lebih baik dengan cara permainan yang baharu.

Selain itu, dia juga menepis telahan awal yang memilih Putrajaya Dynamites sebagai pasukan pilihan sebaliknya menganggap kesemua lapan pasukan sudah melakukan persiapan yang mantap dan bersedia untuk merebut kejuaraan.

“Ianya satu perasaan yang bagus kerana kami datang dari pasukan yang berlainan sebelum ini dan apabila kami bergabung kami ada pengalaman yang baharu, tenaga yang baharu dan sudah tentu satu cara permainan yang baharu.

“Isu penyesuaian diri dalam pasukan itu sudah tentu ada kerana adanya kombinasi baharu tetapi ianya bukan masalah utama kerana kebanyakan dari kami pernah bermain bersama-sama sebelum ini.

“Kami bukan pasukan pilihan sebaliknya kelapan-lapan pasukan sudah bersedia dan memahami apa yang diperlukan dalam musim ketiga ini. Kesemua pasukan sudah melakukan persiapan yang mantap,” katanya.

Pasukan baharu ini akan diperkenalkan kepada umum pada Majlis Pelancaran NSL 2023 pada 2 Oktober 2023 di Kuala Lumpur sebelum memulakan saingan pada 13 Oktober 2023.