PUSAT Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya dijangka siap (Fasa 1) pada Disember 2026, seterusnya boleh mula diguna pakai oleh pasukan-pasukan kebangsaan dari peringkat senior sehingga bawah umur serta wanita untuk kem latihan pusat menjelang mana-mana kejohanan atau perlawanan antarabangsa.

Fasa 1 projek NTC yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan, RS Green Master (M) Sdn. Bhd. telah pun bermula pada pertengahan Jun 2024, merangkumi pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza.

Antaranya adalah padang rumput asli (jenis bermuda), padang rumput hybrid dan padang rumput tiruan (artificial) yang dilengkapi lampu limpah sepenuhnya serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling kawasan padang.

Sekitar Majlis Pecah Tanah NCT, Putrajaya.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, NTC dibina di atas tapak seluas 5.2 hektar (12.85 ekar) dengan Fasa 1 projek tersebut menggunakan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$5.2 juta iaitu bersamaan kira-kira RM24 juta.

“Pembinaan Fasa 2 pula menggunakan peruntukan sejumlah RM45 juta daripada Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya berharap apabila siap dan terbina sepenuhnya NTC ini nanti, ia akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad B-23 kebangsaan.

Bajet sebanyak RM69 juta untuk siapkan projek NCT.

“Insya-Allah dalam masa beberapa tahun lagi, kita dapat melihat mercu tanda baharu bola sepak Malaysia di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya,” ujar Hamidin ketika Majlis Pecah Tanah NTC, Putrajaya pada Rabu.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang telah merasmikan Majlis Pecah Tanah yang berlangsung pada Rabu sejurus ingin memastikan projek pembinaan NTC ini berjalan lancar.