SETELAH tertangguh selama dua tahun, majlis anugerah sukan paling berprestij buat atlet-atlet Terengganu kini kembali dipertandingkan yang telah berlangsung dengan penuh gemilang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Isnin.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Aiman Mohd. Zariff mencipta sensasi penganjuran anugerah ini untuk dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri pada Anugerah Sukan Terengganu 2021/22 untuk edisi kali ini.

Nur Aiman, 25, dipilih selepas memenangi pingat emas Sukan Sea Hanoi, jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) serta pingat perak dan gangsa Kejohanan Berbasikal Kebangsaan.

Nur Aiman Mohd Zariff

Manakala atlet karate negara, Siti Nur Azwani Nor Azli pula diumumkan sebagai Olahragawati Negeri setelah turut cemerlang sepanjang kalendar kejohanan tahun lalu.

Atlet berusia 24 tahun itu yang menang pingat emas kumite pada Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF), kelmarin, merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Sea Hanoi.

Selain itu, Siti Nur Azwani turut meraih satu pingat emas dan perak pada Sukan Universiti Asean, pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) dan pingat gangsa Sukan Tempur Universiti Dunia.

Siti Nur Azwani Nor Azli

Selaku Olahragawan dan Olahragawati Negeri, mereka membawa pulang piala pusingan, piala iringan, blazer, sijil dan wang tunai RM7,000.

Pada majlis sama turut diumumkan Olahragawan serta Olahrawati Paralimpik yang dimenangi atlet berbasikal, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan atlet olahraga, Nani Shaiera Zawawi.

Kedua-dua pemenang itu layak memenangi piala iringan, sijil dan wang tunai RM3,000.

Sementara itu, pemenang pingat emas Kejuaraan Remaja Dunia dan Sukan Sea Hanoi dalam acara muay thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib pula dijulang selaku Olahragawan Harapan.

Atlet sensasi sukan kenu pada Sukan Malaysia (Sukma) yang lalu, Shahida Asyiqin Rusli, pula diumumkan sebagai Olahragawati Harapan.

Ahmad Nor Iman Aliff dan Shahida Asyiqin menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM2,500 yang diserahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.