DIPILIH sebagai Atlet Terbaik 2023 pada Malam Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) 2023, beregu boling padang wanita negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi nekad, mahu melakar lebih banyak kejayaan untuk mempertahan anugerah itu tahun hadapan.

Bagi Nur Ain Nabilah, anugerah yang diberikan kepada mereka itu menjadi penghargaan tertinggi diraih mereka setakat ini, sekali gus memotivasikan diri untuk mencipta kegemilangan seterusnya.

“Saya gembira dengan pencapaian sebelum ini, terima kasih kepada SAM kerana memilih kami sebagai penerima anugerah dan kami berazam mempertahankannya tahun hadapan, jadi untuk kejohanan akan datang kami mahu melakukan yang terbaik,” kata Nur Ain Nabilah.

Kedua-dua mereka akan berlepas ke Australia hari ini, bagi menghadapi Kejohanan Boling Padang Terbuka Australia yang akan bermula esok (8-21 Jun).

“Di Terbuka Australia, saya dan Aleena akan beraksi dalam dua acara iaitu single dan pairs, saya harap kami mampu melakar kejayaan,” ujar Nur Ain Nabilah lagi.

Dalam pada itu, Aleena berkata, impian setiap atlet pastinya beraksi di pentas Sukan Olimpik dan dia berharap suatu hari nanti boling padang dimasukkan ke acara Olimpik dan sempat menyertainya.

“Buat masa sekarang, saya harap untuk saya dan Nur Ain Nabilah tersenarai ke Sukan Komanwel… saya belum pernah terpilih dan beraksi di Sukan Komanwel yang menjadi antara pentas tertinggi buat boling padang.

“Saya mahu raih emas di temasya itu nanti,” kata Aleena.

Kedua-dua ini mencipta sejarah beregu pertama negara, muncul juara pada Kejohanan Boling Padang Dunia 2023.