KEJAYAAN pelumba remaja negara, Nur Alyssa Mohd Farid meraih pingat perak acara pecut, berbasikal trek temasya Sukan Komanwel Remaja di Trinadad & Tobago, cukup mengejutkan.

Jurulatih berbasikal skuad remaja negara, Mohd Zamani Mustarudin berkata, dia amat berbangga dengan pencapaian pelumba negara di temasya itu, baik dalam acara lebuh raya mahupun trek setakat ini.

Menurutnya pencapaian yang dicatatkan Nur Alyssa dan Lau New Joe sangat membanggakan dan disifatkan sebagai di luar jangkaan.

Nur Alyssa Mohd Farid meraih pingat perak acara pecut, berbasikal trek temasya Sukan Komanwel Remaja di Trinadad & Tobago.

“Boleh dikatakan pencapaian mereka paling tak dijangka adalah acara lebuh raya selepas New Joe menyumbang gangsa,” kata Zamani.

Ujarnya, New Joe yang juga pemenang dua pingat emas Kejohanan Kebangsaan 2023 di Melaka dalam kategori remaja baru-baru ini, berganding mantap bersama seorang lagi pelumba negara, Hafiq Jafri bagi saingan lebuh raya.

“Kalau hendak ikutkan temasya Komanwel Remaja ini agak tinggi juga, kami mensasarkan dua pingat tidak kira apa warna sekali pun.

“Pada mulanya risau takut tak capai, tapi kami tetap sahut cabaran untuk acara berbasikal, di mana mereka kena ikut jejak langkah pasukan senior,” katanya, yang juga bekas pelumba negara.

Lau New Joe meraih gangsa dalam acara Lebuhraya 65 kilometer.

Ujar Zamani lagi, pelumba remaja negara akan meneruskan aksi di Kejohanan Remaja Dunia di Cali, Colombia dari 23 hingga 27 Ogos depan namun mereka akan meneruskan kem latihan di Trinidad & Tobago selama lebih kurang sembilan hari.

“Bagi pencapaian setakat ini memang saya berpuas hati kalau boleh mahu meraih pingat di Cali, dengan persiapan sekarang ini, saya rasa kami di laluan terbaik,” kata Zamani.

New Joe meraih gangsa selepas menamatkan saingan sejauh 65 kilometer di belakang pemenang emas, Ferrity Oisin (Ireland Utara) dan Max Bufton (Wales).

Nur Alyssa yang memenangi perak di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) kategori remaja dalam acara keirin Jun lalu, meraih perak dalam acara pecut wanita selepas tewas 2-0 kepada Sarah Johnson dari Scotland dalam aksi final.