SELEPAS menyumbang pingat pertama kepada kontinjen negara semalam, sukan layar terus cemerlang menghadirkan emas yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia, apabila Nur Shazrin Mohamad Latif diisytihar pemenang tanpa perlu turun pada perlumbaan terakhir, gara-gara ketiadaan angin.
Nur Shazrin yang kali pertama beraksi di temasya Sukan Asia, tidak menyangka pemenang akhirnya ditentukan sedemikian kerana sudah bersedia untuk berlumba dalam acara ILCA 6.
Pingat emas itu amat bermakna buat Nur Shazrin, apabila dia turut layak secara merit ke Olimpik Paris, iaitu temasya sukan terbesar dunia yang akan disertainya kali ketiga.
“Saya harap ada perlumbaan hari ini, sebab saya boleh lihat keputusan dan kedudukan saya. Kalau boleh saya nak habiskan semua perlumbaan tapi Alhamdulillah saya sudah menang.
“Saya juga tak jangka emas ini, hanya mahu berikan yang terbaik dalam semua perlumbaan dan tidak buat kesalahan yang bukan-bukan,” katanya, yang berharap dapat diberi lebih banyak pendedahan sebagai persediaan ke Paris nanti.
Nur Shazrin mempamerkan aksi konsisten sejak hari pertama, meraih pingat berkenaan tanpa perlu berhempas pulas pada perlumbaan ke-12 iaitu yang terakhir kerana dibatalkan berikutan masalah angin di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, kira-kira 170 kilometer dari Pusat Media di Hangzhou.
Dia bermula cemerlang dalam empat perlumbaan ILCA 6 wanita namun aksinya sebelum sedikit merudum pada lima perlumbaan terakhir.
Begitupun, aksinya pada lima perlumbaan terawal sudah cukup untuk menobatkannya sebagai juara acara ILCA 6.
Sementara itu pingat perak acara berkenaan diraih pelayar dari Hong Kong, Stephanie Louise Norton manakala gangsa di raih atlet India, Nethra Kumanan.
ARTIKEL BERKAITAN : “Tahniah dan terima kasih Shazrin emas pertama Malaysia” – Hannah Yeoh
Nur Shazrin yang juga pemenang pingat gangsa temasya Sukan Asia Palembang-Jakarta 2018, berharap kejayaannya hari ini menjadi motivasi kepada semua atlet negara yang masih meneruskan perjuangan memburu pingat.
Lima tahun lalu di Palembang-Jakarta, Shazrin meraih gangsa dalam acara laser radial, tewas kepada atlet Jepun, Manami Doi dan perak diraih Zhang Dongshuang dari China.
Tamatnya aksi terakhir hari ini, skuad pelayaran negara menghadiahkan satu emas dan dua gangsa yang disumbangkan oleh Asnawi Iqbal Adam dan Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen.