PERENANG para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menutup kempen Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan meraih tempat ketujuh acara 50 meter gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal)di Paris La Defense Arena awal pagi Jumaat.
Nur Saiful mencatat masa 34.34 saat, dibelakang perenang-perenang China yang menyaksikan Guo Jincheng memecahkan rekod dunianya sendiri apabila mencatatkan masa 29.33 saat untuk meraih pingat emas.
Pingat Perak dimenangi Yuan Weiyi manakala gangsa, Wang Lichao.
Nur Syaiful juga beraksi dalam dua final sebelum ini dengan menduduki tempat keenam acara 100m gaya bebas lelaki S5 selepas merekodkan 1 minit 16.60s dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 menerusi catatan masa 1:46.71s.
Mengenai prestasinya di Paris 2024, atlet berusia 29 tahun itu mengakui sukar mencabar kelompok perenang terbaik dunia dalam kelasnya yang memiliki kelebihan menggunakan kaki bagi meningkatkan kepantasan dalam kolam renang.
Perenang dari Sarawak itu yang hanya bergantung kepada bahagian atas badan bermula dari perut untuk berenang mengakui bergelut beraksi dengan jaguh negara lain susulan kecacatan di bahagian kaki dan lumpuh separuh badan, akibat kemalangan ketika berusia 17 tahun.
Bagaimanapun, pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 itu tetap berpuas hati kerana berjaya mencapai sasaran layak ke final bagi ketiga-tiga acara itu.