DESAS-DESUS mengaitkan Nurillo Tukhtasinov dengan Terengganu FC (TFC) terjawab apabila bekas pemain kebangsaan Uzbekistan itu sah menyertai TFC untuk baki saingan domestik dan Piala AFC, musim ini.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, tonggak berusia 26 tahun itu akan menyarung jersi Sang Penyu dengan kontrak setahun enam bulan sehingga penghujung 2024.

Menurut ketua jurulatih kelahiran Croatia itu, Tukhtasinov merupakan pemain ideal yang dicari-cari bagi memperkuatkan jentera tengah Sang Penyu yang dilihat kurang menjadi.

“Kelibatnya diharap menyuntik dimensi baharu dalam permainan TFC selain mampu menggalas tugas merobek pintu gol lawan bagi meredakan beban barisan penyerang.

“Itu antara kelemahan skuad Sang Penyu musim ini dengan ketiadaan perancang tengah dan kehadiran Tukhtasinov akan memperkuatkan kesebelasan utama kami,” katanya ketika dihubungi.

Musim ini pemain tengah itu beraksi dalam semua 13 perlawanan Liga Super Uzbekistan bersama Neftchi Fergana dan menjaringkan tiga gol untuk membantu kelab itu menghuni tangga ketiga liga.

Malah Tukhtasinov turut memiliki satu kap bersama skuad kebangsaan Uzbekistan selain 29 penampilan bersama skuad peringkat umur negara berkenaan sejak 2016.

Kehadiran tonggak import itu dijangka menyaksikan rombakan barisan TFC dengan sekurang-kurangnya dua lagi pemain luar akan memperkuatkan Sang Penyu.

“Kami juga memburu pemain pertahanan dan penyerang bagi memperkasa pasukan terutama menjelang baki Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC pada September,” tambah Steinbruckner.