PELUMBA basikal trek wanita negra, Nurul Izzah Izzati Asri mencipta rekod kebangsaan pecut individu selepas mencatat masa 10.709 saat (s) di pusingan kelayakan, di Saint Quentin en Yvelines, Paris.
Catatan dilakukannya itu, mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri 10.903s di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) Nilai, tahun lalu.
Catatan itu sekali gus menyaksikan Izzah yang digelar The Pocket Rocketwoman mengakhiri saingan kelayakan pecut individu di tempat ke-21.
Pelumba kelahiran Kedah itu berentap dengan Sophie Capewell dari Great Britain pada pusingan 1/32.
Sementara itu pelumba Jerman, Lea Friedrich berjaya mencatatkan rekod dunia, hanya beberapa minit selepas wakil New Zealand, Ellesse Andrews melakukan perkara sama.
Pelumba berusia 24 tahun itu mencatat masa 10.029s untuk mengungguli pusingan kelayakan.
Dia tampil ke dalam velodrom dengan penuh bersemangat untuk menafikan rekod pemenang pingat emas keirin, Ellesse yang sebelum itu mencatat masa 10.108s bagi memadam rekod lama 10.154 yang dicatatkan penyandang juara Olimpik, Kelsey Mitchell pada 2019.