JAGUH pecut berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menamatkan perjalanan Olimpik Paris di peringkat repechages pusingan 1/32.

Kegagalannya memintas pelumba Kanada, Lauriane Genest menyaksikan hajat besar melihat pelumba kelahiran Kedah itu mara lebih jauh dalam acara pecut individu wanita, tidak kesampaian.

Dalam perlumbaan membabitkan tiga pelumba itu Izzah menjadi yang kedua melintasi garisan penamat di depan Riyu Ohta dari Jepun.

Bagaimanapun, hanya juara sahaja berjaya mara ke pusingan 1/16 yang berlangsung di Velodrom de Saint Quentin en Yvelines.

Nurul Izzah Izzati mengejar Lauriane Genest dari Kanada dalam aksi repechages, pusingan 1/32 pecut individu wanita.| FOTO MSN

Pujian harus diberikan kepada Izzah dalam penampilan pertamanya di Olimpik apabila masih berkesempatan untuk memecahkan rekod kebangsaan di pusingan kelayakan.

Izzah mencatat 10.709 saat (s) sekali gus memadam rekod kebangsaan 10.903s yang dilakukannya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), di Nilai, tahun lalu.

Dua hari lalu dalam saingan keirin, Izzah terkandas di pusingan repechages selepas menduduki tempat keempat dalam saringan kelima pusingan pertama.

Dalam aksi repechages dia menduduki tempat ketiga di belakang Kelsey Mitchell (Kanada) dan Katy Marchant (Great Britain) tatkala hanya dua pelumba teratas sahaja mara ke suku akhir.