KETIKA semua mata memandang ke arah Datuk Azizulhasni Awang dan Muhamamd Shah Firdaus Sahrom yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris nanti, tanpa sedar peluang buat pelumba trek wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ke temasya itu, masih terbuka.

Bagaimanapun, gadis yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman itu, perlu mencipta keputusan positif pada perlumbaan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada dari 12 hingga 14 April ini.

Malaysia ketika ini berada di ranking ke-14 dalam acara keirin dengan 2254.5 mata, yang tertinggi dalam kalangan tujuh negara yang tidak layak bagi acara pecut berpasukan.

Bagaimanapun, Malaysia diekori rapat Sepanyol yang berada di kedudukan ke-15 (2185 mata) diikuti Hong Kong ke-16 (2176 mata) dan Republik Czech ke-17 (2173 mata) dan Poland ke-18 (2166 mata).

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri paling cemerlang, raih dua emas di ACC 2024, New Delhi.

Slot akhir Olimpik akan ditentukan selepas tamat perlumbaan di Milton.

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley berkata, tiada apa yang mustahil buat Nurul Izzah untuk membuat penampilan sulung di Temasya Paris.

“Nurul Izzah sedang berusaha layak melalui acara keirin, kami perlu berada dalam kedudukan tujuh teratas untuk kuota kelayakan Olimpik, perlumbaan di Milton adalah pusingan kelayakan terakhir.

“Dia perlu menamatkan saingan di depan Sepanyol, Republik Czech, Hong Kong, jika dia berada di depan mereka dia akan layak ke Olimpik Paris,” kata Beasley.

Mengatasi rekod kebangsaan milik Fateha Mustapa, satu pencapaian luar biasa dilakukan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, pada usia 20 tahun.

Fatehah Mustapa menjadi pelumba wanita terakhir negara layak ke Olimpik iaitu pada aksi di Rio 2016.

Sebelum ini, Nurul Izzah mencipta sensasi apabila berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Februari lalu.

Pelumba itu turut merangkul perak dalam acara pecut berpasukan dan juga gangsa dalam acara pecut.