MESKIPUN hanya menduduki tempat ketujuh acara keirin di Kejohanan Berbasikal Dunia di Ballerup, Denmark minggu lalu, pencapaian Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam kategori elit wanita itu memastikan nama Malaysia kekal relevan dalam saingan trek dunia.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, pencapaian Nurul Izzah itu membuatkan ketiadaan legenda trek dunia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang kurang dirasai.

Begitupun bagi Amarjit, pelumba cilik kelahiran Jitra, Kedah itu pastinya mendapat manfaat menerusi latihan dan penyertaan di kejohanan antarabangsa ketika bersama-sama The Pocket Rocketman selama ini.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yakin Nurul Izzah Izzati memiliki aura sama dengan Datuk Azizulhasni Awang.

Malah, Nurul Izzah, 21, menjadi pelumba wanita tunggal negara di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“PKBM sebenarnya sangat terasa kekosongan yang bakal ditinggalkan Datuk Azizulhasni. Bayangkan sudah berapa lama Datuk Azizulhasni memerah keringat untuk mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik, Kejohanan Trek Sedunia, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Sea.

“Datuk Azizulhasni meraih pelbagai kejayaan dan gelaran. Gelaran yang masyhur sudah tentu apabila beliau muncul juara pada Kejohanan Berbasikal Trek Sedunia 2017 di Hong Kong, China.

 

Nurul Izzah Izzati, sudah beraksi di Sukan Olimpik Paris dalam dua acara, kerin dan pecut individu.

“Justeru, apabila beliau berdepan kemungkinan meninggalkan terus sukan trek selepas Paris 2024, saya mengaku gementar dengan kekosongan ditinggalkan Datuk Azizulhasni.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Trek PKBM, saya terharu dengan senario Datuk Azizulhasni bakal bersara. Jadi siapakah yang akan menggantikan Datuk Azizulhasni.

“Saya yakin semua tahu dengan prestasi Mohd Shah Firdaus (Sahrom). Bagaimanapun apabila melihat sendiri kejayaan Nurul Izzah meraih tempat ke-7 di Ballerup, saya terasa sangat lapang.

Datuk Azizulhasni Awang, sering menaiki podium di kejohanan yang disertai.

“Saya tahu Izzah Izzati ada potensi untuk meraih banyak kejayaan seperti Datuk Azizulhasni. Dengan latihan dan bimbingan yang betul, saya yakin Izzah Izzati boleh jadi juara dunia seperti Datuk Azizulhasni,” katanya, dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM.

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menegaskan bahawa ada persamaan antara Azizulhasni dan Izzah Izzati.

“Selain sama-sama bersaiz sederhana tetapi kuat, Izzah Izzati juga sudah dinamakan sebagai The Rocket Pocketwoman. Saya harap gelaran ini boleh menaikkan semangatnya,” katanya.

Selepas Fateha Mustapa, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, muncul ratu trek harapan negara.

Beliau yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), menegaskan bahawa PKBM akan berusaha sedaya upaya untuk membantu Izzah Izzati dan pelumba trek yang lain bagi memastikan mereka selesa dalam sesi latihan serta pertandingan.

“Datuk Azizulhasni mengakui bahawa beliau sentiasa menerima bantuan termasuk daripada MSN (Majis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan PKBM.

“Dalam hal ini, saya akan pastikan Izzah Izzati menerima pelbagai bantuan termasuk kewangan bagi memastikan persiapan ke sesuatu kejohanan berjalan lancar,” katanya.