PELUMBA negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menjangkakan tugas sukar untuk mempertahan pingat emas 500 meter (m) ujian masa wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, pertengahan Jun ini.

Nurul Izzah Izzati yang memenangi acara itu di kejohanan sama berlangsung di New Delhi tahun lalu bagaimanapun akan mempamerkan prestasi terbaik meskipun pesaing kali ini disifatkan lebih mencabar memandangkan semua pelumba memburu mata kelayakan ke Olimpik Paris.

Pelumba negara itu menjangkakan saingan akan sengit pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai dari 14 hingga 19 Jun ini.

Nurul Izzah Izzaty Mohd Asri melakukan persiapan terbaik di Veledrom Nasional, di Nilai menjelang Kejohanan Trek Asia 14 hingga 19 Jun ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu berkata, barisan pelumba besar Asia akan hadir di Veledrom Nasional kali ini.

“Saingan tahun lalu tidak sesukar pencabar yang akan hadir ke Veledrom Nasional tahun ini.

“China, Jepun dan Hong Kong akan menghantar pelumba terbaik mereka kerana mata kelayakan Olimpik.

“Saya tidak boleh jamin saya mampu mengekalkan emas (500m). Ia akan menjadi sukar, tetapi saya pasti akan mencuba yang terbaik,” kata Izzah baru-baru ini.

Anak gadis kelahiran Kedah itu bukan hanya menumpukan perhatian kepada ACC malah berharap memperoleh pingat di Sukan Asia Hangzhou akhir tahun ini (23 Sep-8 Okt) menerusi acara pecut berpasukan bersama rakan sepasukan Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan.

Izzah mengakui, melalui tempoh singkat ‘kejutan budaya’ apabila dinaikkan ke skuad trek elit negara awal tahun lalu, tetapi kini sudah lebih tenang dan bersedia.

Bertubuh kecil dengan ketinggian 1.52m, prestasinya meningkat dengan ketara terutamanya pada kekuatan fizikal, yang menjadi faktor penting bagi mana-mana pelumba pecut trek.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menang emas acara pecut dan perak keirin wanita Kejohanan Trek Piala Antarabangsa Hong Kong I & 2./Pix FB Majlis Sukan Negara

“Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan latihan. Pada mulanya ia agak mengejutkan kerana saya sebelum ini seorang pelumba endurance,” kata Izzah.

“Kami melakukan banyak kerja (kekuatan) di gim dan saya telah memperoleh kira-kira 4kg jisim otot sepanjang tahun lalu.”

Sebelum menyertai program trek, Izzah juga pernah beraksi dalam acara berbasikal bukit dan perlumbaan jalan raya.

Untuk rekod, Izzah memenangi pingat emas acara pecut dan perak acara keirin Kejohanan Trek Piala Antarabangsa Hong Kong I, 26 Mei lalu manakala pada Kejohanan Trek Piala Antarabangsa Hong Kong II (27 Mei), dia memenangi gangsa acara pecut.