BASIKAL baharu setaraf dua Olimpian, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, bakal digunakan puteri trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, di Sukan Olimpik 2024 di Paris yang bermula 26 Julai ini.
Kejayaan mendapat slot secara merit ke Paris, meletakkan Nurul Izzah sebaris dua pelumba berpengalaman lelaki negara itu, sehingga ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley, mengesahkan Nurul Izzah akan mula membiasakan diri dengan basikal baharu dalam masa yang terdekat.
“The bike we will talk on the later stage because we plan for a bit of a launch. Izzah will use the (model) WX-R Vorteq in couple weeks of time,” kata Beasley, pada sidang media Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Velodrom Nasional, hari ini.
Nurul Izzah menjadi atlet berbasikal terakhir negara menempah slot ke Temasya Paris 2024, selepas mempamerkan kayuhan memberangsangkan pada Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada.
Dalam pada itu, pelumba terbabit mengakui tidak menyangka bahawa Beasley akan mengesahkan dia akan berkayuh menggunakan jentera setanding Azizulhasni dan Shah Firdaus, pada sidang media hari ini.
“Saya tak jangka saya akan dapat basikal sama seperti mereka. Sudah tentu basikal baharu ini boleh menaikkan semangat saya kerana basikal itu pernah dinaiki oleh Datuk Azizulhasni sendiri sebelum ini.
“Saya pernah cuba basikal (WX-R)… memang berbeza dan jauh lebih baik berbanding basikal saya sekarang,” kata Nurul Izzah yang memenangi dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi India pada Februari lalu.
Justeru, dia mahu memantapkan keyakinan sebelum beraksi di temasya besar itu, terutamanya dalam acara keirin yang memerlukan kemahiran strategi.
“Dalam latihan, saya nak memperbaiki dari segi positioning dan keberanian untuk kayuh dalam (acara) keirin. Saya juga perlu lebih yakin dan perbaiki kelajuan saya untuk saya di Olimpik nanti,” katanya.
Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Untuk rekod, basikal WX-R Vorteq sebelum ini hanya digunakan tiga pelumba, Azizulhasni, Shah Firdaus dan Muhamad Fadhil Zonis.