PERSAINGAN rapat dengan lawan memberi sedikit tekanan kepada pelari terakhir, Ghalib Mohamad Azimi, sehingga dipintas atlet Filipina sekali gus skuad obstacle race dalam acara lari berganti-ganti lelaki terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Pada saingan akhir itu, Yoong Wei Theng menjadi pelari pertama diikuti Nuur Hafis Alwi dan Mohd Redha Rozlan mendahului Filipina yang membariskan Ahgie Brina Radan, Elias Gahi Tabac, Jose Mari Miranda dan Mervin Maligo, sejak wisel mula dibunyikan.
“Saya lihat level kita dah dekat, mungkin ia memberikan tekanan kepada saya,” kata Ghalib yang menamatkan larian pasukan negara dengan memanjat dinding meleding (warped wall) dan menamatkan perlumbaan dalam masa 25.195 saat (s).
Catatan itu hanya sedikit ketinggalan di belakang kuartet Filipina yang berlari pada masa 24.478s.
Sementara itu, atlet berpengalaman negara, Mohd Redha berkata, keputusan yang diraih kali ini cukup bermakna, terutamanya selepas pasukan memberi komitmen tinggi melakukan persiapan untuk memburu emas pertama dalam sukan lasak itu.
“Kita korbankan masa di bulan puasa apabila tiga minggu berada di Filipina untuk menjalani latihan malah kami sudah memberikan yang terbaik sepenuhnya hari ini… untuk Sukan Sea akan datang, kita akan gilap lagi untuk mendapatkan pingat emas,” kata Mohd Redha.
Mengulas mengenai pengorbanan menjalani latihan tiga minggu di Filipina, Mohd Redha berharap akan ada pihak membantu membangunkan trek yang sama seperti kejohanan, sebagaimana yang dimiliki di Filipina.
“Kita tidak ada fasiliti lapangan perlumbaan berhalangan (OCR) dan kami hanya menjalani latihan simulasi di gimnasium, jadi saya harap aka nada mana-mana pihak membantu mewajudkan halangan yang sama,” katanya.
Selepas tiga kali beraksi di Sukan Sea, Mohd Redha sudah memiliki lima pingat perak termasuk pada penyertaan pertamanya di Sukan Sea Palembang (2011), dalam acara panjat dinding (wall climbing).
Justeru Mohd Redha mahu: “Membentuk atlet yang cukup bersedia bermula tahun hadapan, yang mampu memberi komitmen sama seperti kuratet sedia ada.
“Kalau ada fasiliti lengkap, kita boleh membentuk pasukan yang sangat kuat dan Sukan Sea akan datang pasti milik kita.”
Sementara itu, kuartet Wanita yang dibarisi Ong Sher Lyn, Tan Sui Lin, Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli dan Yip Hui Teng, meraih pingat gangsa selepas memenangi perlumbaan penentuan pingat gangsa menentang Kemboja.
Kuartet negara mengakhiri perlumbaan dengan catatan 41.001s, mengatasi Kemboja yang tidak menamatkan perlumbaan.