PELUMBA basikal trek No.1 negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menyeru pelumba muda untuk mula mengorak langkah menggalas cabaran supaya negara dapat melahirkan lebih banyak pelumba yang mampu beraksi pada tahap terbaik di pentas dunia.
Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman, yakin hasrat tersebut hanya akan terhasil jika pelumba muda mempunyai keinginan dalaman yang tinggi serta rela berkorban masa demi latihan pada tahap intensif.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita juga meletakkan harapan kepada pelumba-pelumba muda ataupun atlet muda dalam sukan lain kerana jikalau kita tidak ajar mereka untuk menggalas cabaran, sampai bila pun mereka tidak akan berani beraksi di pentas tertinggi.
“Pelumba muda seharusnya mempunyai keinginan yang tinggi. Mereka harus berlatih sedaya-upaya semasa latihan agar mereka mampu duduk sama tinggi dengan pemain berkelas dunia,” katanya ketika sidang media di Majlis Anugerah Sukan Negara di Bukit Jalil.
Sementara itu, Datuk Pandelela Rinong turut senada dengan hasrat Jijoe bagi menyaksikan lebih ramai pelapis yang mampu mempamerkan aksi cemerlang mengikut jejak langkah atlet senior
“Sebagai senior, saya rasa kita perlu kuat. Bukan sahaja untuk memberi contoh baik kepada penerjun muda. Tetapi untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada mereka.
“Sebab bukan selalunya senior akan beraksi secara konsisten atau memberi keputusan. Kami juga mengharapkan penerjun muda juga menjadi sandaran sekiranya senior tidak mampu berada pada tahap terbaik mereka,” ujarnya.
‘Jijoe’ berjaya merangkul anugerah kali kelima buat di Anugerah Sukan Negara selepas meraih gelaran tersebut pada 2009, 2010, 2017, 2019/2020 dan berjaya mengatasi pencapaian legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang meraih empat gelaran.
Chong Wei pernah meraih gelaran pada 2005, 2008, 2011 dan 2015 manakala legenda badminton, Datuk Rashid Sidek juga berada dalam kelompok yang meraih empat gelaran iaitu pada 1990, 1991, 1992 dan 1996.
Dalam perkembangan sama, Pandelela turut mencipta fenomena di majlis tersebut dengan berjaya meraih gelaran keempatnya dalam Anugerah Sukan Negara.
Pencapaian Pandelela pada tahun 2021 adalah meraih emas dalam acara 10 meter (m) individu pada Piala Dunia dan membuat penampilan keempat di Olimpik Tokyo.
Ratu terjun itu sebelum ini pernah meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan pada 2011, 2012 dan 2015 manakala legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David masih memegang rekod terbanyak dengan 10 gelaran.