LAYAK ke Temasya Olimpik Paris 2024 secara merit, menjadi sasaran utama Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM).
Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Jasni Shaari berkata, tiga penembak Alia Sazana Azahari, Jonathan Wong dan Nurul Syasya Nadia Mohd Arifin yang dikekalkan dalam Program Podium terus menjadi sandaran untuk mencapai sasaran ke Olimpik 2024 itu.
Menurutnya, tiada pilihan lain kerana tiga penembak terbabit adalah yang terbaik buat skuad menembak negara ketika ini.
“Ini terbaik yang kita ada, kita berpuas hati dengan ketiga-tiganya kekal dalam Podium kerana ini sahaja terbaik buat masa ini. Malah, jika mahu memenangi pingat pun, hanya satu pingat yang kita sasarkan, melainkan kita mempunyai ramai penembak berkualiti seperti mereka, barulah boleh kita menamakan lebih ramai lagi,” kata Jasni, selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Menembak, di Majlis Sukan Negara (MSN), Khamis.
Menurutnya, kejohanan pertama akan disertai tiga penembak elit negara itu adalah Piala Dunia Rifle/Pistol yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, bermula esok hingga 7 Februari.
“Sasaran yang kita tetapkan di setiap kejohanan adalah berada dalam kelompok lapan terbaik, penembak yang menamatkan saingan awal dalam kelompok lapan terbaik akan ke final dan masih berpeluang memenangi pingat.”
Kejohanan seterusnya akan diserta penembak negara, adalah Piala Dunia di Kaherah, Mesir (17-24 Februari) dan Kejohanan Asia di Changwon, Korea Selatan (22 Oktober hingga 2 November).
Menurutnya, untuk layak secara merit, penembak negara perlu mengakhiri kejohanan mengikut kelayakan yang ditetapkan.
Jasni berkata, untuk layak secara merit, penembak yang mengambil bahagian di Piala Dunia perlu menamatkan saingan di kedudukan empat tertatas, Kejohanan Dunia (4) dan Kejohanan Asia (2).
Kali terakhir penembak negara ke Olimpik secara merit pada edisi 2016 di Olimpik Rio, iaitu Jonathan Wong.